Akhir hayat Daim diherdik kerana dendam – Tun M

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meluahkan rasa kesedihannya apabila sahabat beliau, Allahyarham Tun Daim Zainuddin meninggal dunia pagi ini.

- Advertisement -

Menerusi hantaran di Facebook, Ketua Panel Penasihat SG4 itu turut berkata, beliau telah kehilangan sahabat yang sama-sama berjuang untuk agama, bangsa dan negara.

“Saya sedih tidak terhingga. Sepatutnya dia disanjung kerana sumbangannya kepada perjuangan, tetapi di akhir hayatnya dia diherdik tanpa sebab.

“Tanpa sebab kerana dendam. Inikah balasan yang menimpa kerana dendam?. Ya Allah adililah Daim berasas keadilan,” tulisnya.

Tun Mahathir turut mendoakan Allahyarham diberikan tempat di akhirat sebagai pejuang bangsa.

“Saya hanya mampu berdoa kita akan bersama kembali di masa tertentu. Amin ya rabbalalamin,” katanya.

Pada pagi ini, negara dikejutkan dengan pemergian bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin yang meninggal dunia di Hospital Assunta, Petaling Jaya.

Daim pernah berkhidmat sebagai Menteri Kewangan dua kali, yang pertama dari 1984 hingga 1991 di bawah pentadbiran Tun Mahathir di mana beliau memainkan peranan penting dalam mengurus ekonomi Malaysia dan melaksanakan pelarasan struktur.

Beliau kemudian kembali untuk penggal kedua dari 1999 hingga 2001, sekali lagi di bawah Tun Mahathir, untuk menangani isu ekonomi berikutan krisis kewangan Asia ketika itu.

Pengebumian Allahyarham dijangka dilaksanakan hari ini. – HARAKAHDAILY 13/11/2024