KOTA BHARU: Teknologi pintar seperti kecerdasan buatan (AI) tidak boleh dijadikan sebagai guru agama untuk sebarang rujukan apa lagi berkaitan hukum-hakam.
Pengerusi Lajnah Pembangunan Insan dan Keluarga Dewan Muslimat PAS Pusat, Asmak Husin berkata, AI tidak boleh mewakili ustaz atau ustazah dalam menyampaikan dakwah.
Beliau bagaimanapun mengakui penggunaan AI lebih memudahkan orang ramai mendapat maklumat dengan syarat mempunyai maklumat asas berkaitan agama.
“Dengan kata lain, kita perlu mengetahui maklumat asas terlebih dahulu berkenaan sesuatu perkara, kena tahu ilmu, disiplin dan kerangka asas agama terlebih dahulu,” katanya di sini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas penggunaan teknologi pintar AI yang digunakan secara meluas sekarang termasuk dalam bidang dakwah.
Menurutnya juga pendakwah perlu memantapkan ilmu berkaitan agama termasuk di institusi pondok atau Pusat Pengajian Tinggi (IPT) sebelum berkongsi ilmu dengan orang ramai.
“Kalau kita tengok, AI berbentuk analisa dan kompilasi berdasar teknologi yang boleh diakses, tetapi tidak boleh mewakili pihak tertentu untuk memberi pandangan.
“Sebagai contoh, kalau kakitangan saya memberitahu berkaitan sesuatu perkara, kita boleh tahu mereka menggunakan AI atau tidak. Pada masa yang sama ada perkara yang kena diperbetulkan semula,” ujarnya.
Kata beliau sekiranya maklumat yang keliru disebarkan ia cukup bahaya. Lebih-lebih lagi berkaitan hukum hakam agama.
“Bila kita guna AI kita kena refresh balik, kena tengok semula untuk pastikan sesuatu perkara itu jelas dan falsafah di sebaliknya,” kata beliau.
Beliau juga berkata, antara perkara penting yang perlu dihadapi dalam melayari AI masyarakat mesti menjaga akidah, akhlak dan hak asas fardu ain.
Kata beliau juga konsep talaqi dengan berguru secara berdepan perlu diteruskan bagi memantapkan ilmu agama. – HARAKAHDAILY 13/11/2024