PASIR PUTEH: Industri ternakan di Kuala Sungai Semerak menyumbang lebih RM16 juta dalam tempoh 2020-2023, namun sering berdepan cabaran kualiti air.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi negeri, Dato’ Tuan Mohd Saripuddin Tuan Ismail berkata, masalah kualiti air dan keperluan langkah mitigasi diharap dapat mengurangkan risiko ternakan ikan.
Katanya, kerjasama erat perlu digembeling bersama bagi memastikan pelaksanaan kerja-kerja mendalamkan Kuala Sungai Semerak dapat dilaksanakan.
“Bagi menjayakan hasrat tersebut mesyuarat diadakan bagi membincangkan perkara berkenaan khususnya berkaitan peruntukan kewangan.
“Usaha mendalam Kuala Sungai Semerak dianggap perlu memandangkan industri ternakan ikan di kawasan terbabit menyumbang lebih RM16 juta dalam tempoh tiga tahun,” katanya pada catatan di laman sosialnya semalam.
Kata beliau langkah tersebut diharap mengukuhkan industri ternakan ikan dalam sangkar di kawasan terbabit memandangkan ia mempunyai potensi besar. – HARAKAHDAILY 12/11/2024