Teliti semula syarat peperiksaan guaman PSAG

Perkasa Bahasa Melayu untuk peguam luar negara

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dr Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) mencadangkan supaya pihak kerajaan meneliti semula syarat kelayakan untuk setiap individu yang menduduki Sijil Amalan Guaman (PSAG).

- Advertisement -

Gesanya, kerajaan juga perlu memperkasakan penguasaan Bahasa Melayu bagi peguam lulusan luar negara, khususnya mereka yang belajar sepenuhnya dalam Bahasa Inggeris.

Beliau menjelaskan, Lembaga Kelayakan Profesion Guaman (LPQB) menetapkan pemohon PSAG yang mendaftar selepas 5 Jun 2018 perlu memiliki sekurang-kurangnya lima kepujian di peringkat SPM.

Itu katanya, termasuk pemohon yang menggunakan kelayakan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) pada tahap ‘senior middle three’ dalam satu peperiksaan yang sama.

“Pada 3 September 2005, LPQB memutuskan untuk tidak lagi mengiktiraf kelulusan UEC setara dengan SPM atau STPM.

“Namun, mulai 1 Januari 2021, LPQB kembali mengiktiraf UEC setaraf dengan SPM,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Dr Abd Ghani kemudian bertanya sama ada kerajaan bersedia menyemak semula perkara ini dan turut menekankan pentingnya usaha kerajaan untuk memperkukuh penguasaan Bahasa Melayu.

Iaitu katanya, dalam kalangan peguam, khususnya mereka yang belajar di luar negara dan hanya memiliki kelulusan Bahasa Melayu di peringkat SPM.

“Ramai peguam masih menggunakan Bahasa Inggeris dalam perbicaraan walaupun ditetapkan agar Bahasa Melayu digunakan, sesuai dengan Akta Bahasa 1967,” tambahnya.

Menjawab persoalan itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran berkata, LPQB yang mengiktiraf UEC setara dengan SPM.

Walaubagaimapun katanya, kerajaan akan menimbangkan pandangan Abd Ghani dan mengkaji langkah-langkah yang mungkin perlu dilakukan.

“Penguasaan Bahasa Melayu adalah wajib untuk amalan guaman di Malaysia, dan sekurang-kurangnya pemohon perlu memiliki kredit dalam Bahasa Melayu pada peringkat SPM.

“Bagaimanapun, penguasaan Bahasa Inggeris juga penting, kerana kira-kira 90 peratus bahan rujukan undang-undang di negara ini dalam Bahasa Inggeris,” jelasnya.

Pada soalan asal, Teresa Kok Suh Sim (PH-Seputeh) meminta Perdana Menteri menyatakan kos pengoperasian LPQB bagi tempoh lima tahun lalu, termasuk pendapatan, perbelanjaan dana awam, dan sama ada ia diaudit oleh pihak tertentu. HARAKAHDAILY 12/11/2024