Teguran Nga tidak ikut tatacara Dewan – Wan Saiful

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat menjadi tegang apabila Datuk Wan Saifulruddin Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) bangun mempertahankan Peraturan Mesyuarat ekoran isu dibangkitkan Nga Kor Ming (PH-Teluk Intan) terhadap Awang Hashim (PN-Pendang).

- Advertisement -

Nga Kor Ming sebelum itu menegur Awang yang didakwa menabur fitnah dalam Dewan Rakyat, khususnya mengenai dakwaan RM94 juta wang tunai dalam rumah bekas Menteri DAP.

Nga lantang mengingatkan, Dewan Rakyat bukan tempat untuk menyebarkan tuduhan palsu dan fitnah, yang katanya lebih kejam daripada membunuh menurut ajaran agama Islam.

Wan Saifulruddin menyifatkan kenyataan Nga sebagai tidak mengikut Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat dan berkata teguran tersebut sepatutnya lebih terhormat dan berlandaskan tatacara dewan yang betul.

Namun, Nga tetap meneruskan hujahnya dengan sokongan daripada Chong Zhemin (PH-Kampar) yang turut mengecam Awang.

Nga terus menegaskan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengeluarkan kenyataan menafikan dakwaan tersebut, namun Pendang tetap mempertahankan tuduhan itu.

Mesyuarat Dewan Rakyat kemudiannya ditangguhkan dan akan disambung semula selepas rehat, dengan suasana yang masih tegang selepas pertikaian antara kedua-dua pihak. – HARAKAHDAILY 12/11/2024