Takut terima balasan punca utama buli tidak dilapor

- Advertisement -

KUALA LAMPUR: Takut menerima balasan lebih teruk akibat laporan menjadi mangsa buli, merupakan antara faktor banyak kes buli seperti di Universtiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) tidak dilaporkan dan terus berulang.

- Advertisement -

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, mangsa buli akan ketakutan memikirkan balasan daripada pihak pembuli menyebabkan perkara itu terus menjadi kebiasaan.

“Kedaan ini menyukarkan pihak pengurusan untuk mengenal pasti dan menangani kes buli dengan cepat. Selain itu UPNM turut melatih pelajar dalam disiplin kententeraan yang sering menuntut ketahanan fizikal dan mental yang tinggi.

“Namun, disiplin ketenteraan ini kadangkala disalahertikan sebagai izin untuk menggunakan kekerasan atau buli sebagai cara ‘menguji’ ketahanan pelajar baru atau rakan seperjuangan.

“Seterusnya mencetuskan budaya buli yang diterima secara tidak rasmi oleh segelintir pihak,” katanya yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang kepada HarakahDaily hari ini.

Katanya lagi, pihak pengurusan universiti mempunyai tanggungjawab besar untuk memantau dan mengambil tindakan proaktif dalam membendung isu buli.

“Langkah-langkah seperti pemantauan yang lebih ketat, penyediaan saluran aduan yang mesra pelajar, serta sokongan psikologi dan kaunseling kepada mangsa buli perlu dipertingkat.

“Pelajar dan kakitangan perlu dididik mengenai kesan buruk buli dan bagaimana mengelak terjebak dalam budaya buli. Kesedaran mengenai kepentingan empati, nilai-nilai hormat, dan persaudaraan boleh membantu mengubah minda dan mengurangkan insiden buli,” katanya.

Pada 21 Oktober lalu seorang penuntut universiti sama melecur di badan akibat ditekap dengan seterika oleh penuntut senior.

Sebelum ini, pada 2017, kisah tragis dan kejam yang menggemparkan negara apabila pegawai kadet laut UPNM, Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain menemui ajal selepas dibuli.

Mangsa juga dipukul dan diseksa sehingga hampir keseluruhan anggota badannya berulang kali ditekap menggunakan seterika wap selepas beliau dituduh mencuri sebuah komputer riba.

Susulan itu, enam bekas penuntut UPNM dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Rayuan 23 Julai lalu kerana didapati membunuh Zulfarhan tujuh tahun lalu. – HARAKAHDAILY 12/11/2024