Sejauh mana status terkini PPPTM 2026-2035

Dato' Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang merangka dokumen hala tuju pendidikan tinggi yang baharu bagi menggantikan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) atau PPPM(PT) 2015-2025 yang akan tamat tempohnya pada tahun hadapan.

- Advertisement -

Menterinya berkata, pembangunan pelan baharu ini adalah penting kerana dunia pendidikan tinggi sentiasa berubah dengan pesat, terutamanya dalam konteks globalisasi dan perkembangan teknologi.

Justeru, ujarnya adalah penting untuk Malaysia memastikan pendidikan tingginya seiring dengan transformasi global ini.

Sehubungan itu, jelasnya Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi Malaysia (PPPTM) 2026-2035 merupakan dokumen rujukan yang penting bagi mencorakkan hala tuju pendidikan tinggi negara untuk dekad mendatang agar selari dengan aspirasi nasional dan perubahan landskap global.

“Selain itu, PPPTM ini dirancang secara komprehensif untuk memenuhi keperluan negara, industri, komuniti serta memastikan pendidikan tinggi di Malaysia dapat berkembang maju dan beradaptasi dengan tuntutan masa hadapan,” ujarnya dalam jawapan bertulis kepada soalan Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (PN-Kemaman) di Dewan Rakyat, semalam.

Ahmad Samsuri dalam soalannya meminta Menteri Pendidikan Tinggi menyatakan sejauh manakah status terkini Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026-2035 dan siapakah pemegang taruh yang dilibatkan di dalam proses ini.

Jelas menteri lagi, KPT sebagai sekretariat utama bersama Kumpulan Pakar dan pasukan pelaksana dari Universiti Putra Malaysia (UPM) telah memastikan gerak kerja termasuk sesi libat urus dan proses pengumpulan data bersama pemegang taruh dilaksanakan dengan sewajarnya.

Katanya, sehingga 10 Oktober 2024, KPT telah melaksanakan 29 sesi libat urus yang melibatkan 5,792 orang pemegang taruh daripada pelbagai kelompok dalam dan luar ekosistem pendidikan tinggi bagi mengenal pasti isu dan cabaran utama daripada pelbagai perspektif dalam pendidikan tinggi.

Sehingga kini, ujarnya sesi libat urus masih giat dilaksanakan bersama beberapa pemegang taruh melalui pelbagai kaedah seperti bengkel, perbincangan kumpulan berfokus, mesyuarat secara fizikal dan dalam talian.

Menurutnya, antara kelompok pemegang taruh yang terlibat bagi sesi libat urus yang dijalankan adalah seperti pelajar dan alumni, kakitangan akademik dan bukan akademik, majlis dan persatuan universiti, persatuan industri, pihak berkuasa tempatan, badan profesional, agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan.

Selain itu, katanya bagi memastikan pelan yang dibangunkan ini menyeluruh dan inklusif, sehingga 3 Oktober 2024, KPT telah menerima maklum balas daripada tinjauan nasional yang dilaksanakan. Semua maklum balas ini sedang dianalisis dan dinilai untuk dijadikan input dalam pembangunan PPPTM 2026-2035.

“Sebagai tambahan, kemajuan penghasilan pelan ini dipantau oleh Mesyuarat Jawatankuasa Penasihat PPPTM 2026-2035 yang dipengerusikan oleh Yang Berhormat Menteri Pendidikan Tinggi serta Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu PPPTM 2026-2035 yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha KPT yang diadakan secara berkala,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 12/11/2024

- Advertisement -