‘Saya nak sentuh tentang produk halal yang diimport’

Nurul Amin Hamid
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Persoalanan mengenai pensijilan halal produk import dibangkitkan oleh Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) di Dewan Rakyat hari ini.

- Advertisement -

“Saya nak sentuh tentang produk-produk halal yang diimport, yang mana produk halal yang diimport ini mempunyai pensijilan halal yang berbeza standardnya daripada Malaysia,” kata beliau semasa mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan.

Beliau bertanya mengenai jumlah negara yang telah diiktiraf oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk produk import dan bagaimana kerajaan merancang untuk menangani isu pensijilan halal bagi produk-produk ini, serta memastikan pengguna tidak ragu-ragu.

Selain itu, beliau ingin mengetahui sama ada sistem Smart Halal yang dibangunkan oleh JAKIM juga merangkumi produk import.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hassan berkata, standard halal ini telah dimulakan sejak awal dan memberi tumpuan kepada produk tempatan dan import.

Namun, ujarnya, untuk mendapatkan data spesifik yang sahih, beliau akan menyediakan maklumat tersebut secara bertulis pada masa akan datang.

Soalan asal diajukan oleh Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut), yang meminta Perdana Menteri menyatakan status cadangan untuk mewajibkan pensijilan halal bagi restoran dan syarikat makanan yang tidak menyediakan hidangan daging babi dan alkohol. – HARAKAHDAILY 12/11/2024