KOTA BHARU: Penolong Profesor di Kuliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yakin Peguam Negara baharu dapat menambah baik sistem perundangan syariah di Malaysia.
Dr Ghazali Jaapar berkata, Dato’ Mohd Dusuki Mokhtar yang dilantik sebagai Peguam Negara merupakan lulusan UIAM.
“Semalam diisytiharikan Peguam Negara baharu, kita harapkan agar anak-anak didik kami di UIAM akan terus mempertahankan perundangan Islam.
“Kena mempertahankan perundangan syariah sekali pun akan berhadapan dengan halangan,” katanya pada majlis Sambutan Hari Hududullah peringkat Kelantan di sini hari ini.
Beliau membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Perundangan Syariah & Institusi Mahkamah Syariah Dalam Mendepani Cabaran Dunia Tanpa Sempadan’ sempena program berkenaan.
Mohd Dusuki yang juga bekas Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan di Jabatan Peguam Negara (AGC) dilantik sebagai Peguam Negara yang baharu, berkuat kuasa hari ini.
Pelantikan beliau diumumkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar bagi mengantikan Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh dilantik Hakim Mahkamah Persekutuan.
Mohd Dusuki, 57, anak kelahiran Machang, Kelantan merupakan kelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang Kuliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Beliau turut memiliki Ijazah Sarjana Undang-Undang dari University of Wollongong, Australia, mempunyai pengalaman selama 31 tahun dalam perkhidmatan perundangan di AGC.
Dr Ghazali juga berkata, UIAM menjadikan subjek syariah sebagai teras kepada pelajar. – HARAKAHDAILY 12/11/2024