KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia digesa mengambil langkah berjaga-jaga susulan kemenangan calon Republikan, Donald John Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat baru-baru ini, bagi mengelakkan konflik dan memastikan kemajuan berterusan.
Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Pusat, Thines Sreedaran berkata, kemenangan Trump berpotensi membawa perubahan besar dalam dasar luar negara itu.
Menurutnya, itu termasuk menarik diri daripada konflik Ukraine-Rusia, meningkatkan sokongan kepada Israel, serta memberi tekanan perdagangan terhadap China.
Beliau berkata, dasar ‘America First’ Trump juga dijangka mengurangkan komitmen terhadap isu perubahan iklim dan hak asasi manusia, sambil memfokuskan eksploitasi sumber semula jadi.
Di samping itu katanya, Trump dijangka memperketat dasar imigresen, menyekat kemasukan pekerja asing dan pelajar antarabangsa, yang boleh memberi kesan kepada hubungan global.
“Pilihan Raya itu adalah yang menarik perhatian seluruh dunia. Ini kerana mereka adalah salah satu kuasa besar dunia dan perubahan tampuk kepimpinan di sana boleh memberi impak kepada rakyat di seluruh dunia.
“Dengan kemenangan Donald Trump pada Selasa lalu dunia akan mengalami satu perubahan yang besar bagi tempoh empat tahun akan datang,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Perubahan penting bakal berlaku
Thines berkata, Trump berhasrat untuk menarik Amerika Syarikat daripada konflik Ukraine-Rusia, kerana beliau melihat Ukraine tidak memberi manfaat kepada negaranya.
Menurutnya, sebelum peralihan kuasa, Joe Biden sedang berusaha menyalurkan bantuan sebanyak USD6 bilion kepada Ukraine.
Beliau berkata, Trump dijangka meningkatkan sokongan kepada Israel dalam konflik Timur Tengah dan mengenakan larangan terhadap penjualan minyak Iran.
Trump katanya, juga akan memberi tekanan kepada negara lain supaya tidak campur tangan di mana ia berpotensi meningkatkan ketegangan geopolitik.
“Beliau akan memberi tekanan perdagangan kepada negara China. Seperti mana kita tahu sewaktu pemerintahan beliau pada tahun 2016, beliau telah memulakan Trade War terhadap negara China.
“Produk China bakal dikenakan tarif yang lebih tinggi. Bukan itu sahaja, beliau akan cuba untuk mengeluarkan pelaburan dari negara China,” jelasnya.
Menurut Thines, Trump tidak mempunyai hubungan baik dengan negara-negara Eropah dan menganggap perubahan iklim sebagai satu penipuan.
Tambahnya, Trump cenderung mengeksploitasi sumber minyak dan mineral, yang membimbangkan dunia mengenai krisis iklim.
Cadangnya, Malaysia perlu mengambil peluang tersebut untuk memimpin dalam tenaga bersih, memandangkan Amerika Syarikat mungkin ketinggalan selama empat tahun.
Trump juga jangka Thines, akan menyekat kemasukan imigran bagi memberi keutamaan pekerjaan kepada rakyat tempatan.
Beliau menjelaskan bahawa, pelajar antarabangsa juga akan terkesan, dengan peluang pekerjaan yang terhad dan proses visa lebih ketat.
Malah pemimpin berlatarbelakangkan korporat itu menurut Thines, turut merancang membina tembok di sempadan Mexico, menandakan pendirian lebih tertutup terhadap bakat luar.
“Dengan ini, kita dapat lihat bagaimana dasar yang bakal berubah dapat memberi implikasi kepada dunia,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/11/2024
Malaysia diingatkan waspada dengan kemenangan Trump
- Advertisement -