KUALA LUMPUR: Ir Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) mencadangkan agar dasar Bioteknologi Negara 2.0 dapat diperluas dengan mengukuhkan fasiliti makmal penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta meningkatkan perkongsian dan pemindahan teknologi dengan negara-negara jiran.
“Kita dimaklumkan sekumpulan penyelidik daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) telahpun menghasilkan makanan haiwan yang berasaskan kepada isi rung kelapa sawit yang dinamakan sebagai Tohira simbiotik.
“Dan ini merupakan satu inovasi yang selari dengan dasar bioteknologi negara 2.0.
“Jadi soalan saya ialah bagaimana dengan dasar ini kita boleh mengukuhkan fasiliti makmal R&D serta perkongsian dan pemindahan teknologi dengan negara-negara jiran,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau turut mengusulkan agar kerajaan memberikan sokongan lebih kepada syarikat-syarikat bioteknologi tempatan, termasuk syarikat modal teroka dan syarikat milik kerajaan (GLC), untuk melabur dan membiayai syarikat-syarikat tersebut agar lebih berdaya saing.
“Apakah bentuk sokongan dan galakan kepada syarikat modal teroka ataupun visi tempatan dengan GLC untuk melabur dan membantu membiayai syarikat bioteknologi tempatan agar berdaya saing,” ujar Khairil.
Menjawab persoalan tersebut, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang menjelaskan, MOSTI dalam dasar Bioteknologi Negara 2.0 menyasarkan untuk mewujudkan sekurang-kurangnya tiga syarikat bio-inovasi berstatus unicorn.
“MOSTI, bersama Bioeconomy Corporation (BEC), sedang membimbing beberapa syarikat yang berpotensi tinggi untuk mencapai matlamat tersebut,” ujarnya.
Pada soalan asal, Tan Kar Hing (PH-Gopeng) meminta kementerian menyatakan sejauh mana bioteknologi digunakan dalam penyelidikan dan pembangunan untuk meningkatkan kandungan nutrisi makanan haiwan yang berasal daripada tumbuhan, seperti pokok ketum ayam dan rumput napier. – HARAKAHDAILY 12/11/2024