Harga rumah mampu milik ambil kira kenaikan harga barang?

Dato' Dr. Alias Razak
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming, mengumumkan bahawa harga rumah mampu milik akan meningkat daripada RM80,000 kepada RM90,000.

- Advertisement -

Dato’ Dr. Alias Razak (PN-Kuala Nerus) meminta penjelasan sama ada peningkatan harga rumah tersebut mengambil kira kenaikan harga barang sebanyak 30 peratus.

“Adakah saiz rumah yang disediakan dalam skim rumah mampu milik juga akan dikekalkan antara 650 hingga 800 kaki persegi,” soalnya ketika mencelah pada sesi penggulungan KPKT, di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Kor Ming berkata, harga RM90,000 sudah mencukupi untuk membina sebuah rumah satu tingkat di bawah skim rumah mampu milik.

Alias kemudiannya membangkitkan kebimbangan mengenai saiz Rumah Mesra Rakyat, yang sebelumnya berukuran 1,000 kaki persegi tetapi kini telah dikurangkan kepada 750 kaki persegi.

Kor Ming berkata, Rumah Mesra Rakyat mengikut rekod asal 660 kaki kini telah dipertingkatkan 750 kaki.

Beliau berkata, kementeriannya juga telah berjaya membina lebih daripada 5,000 unit Rumah Mesra Rakyat pada tahun lepas, dengan rekod pembinaan satu rumah hanya dalam tempoh 29 hari. – HARAKAHDAILY 12/11/2024