TEMERLOH: Perikatan Nasional (PN) Pahang mengulangi kenyataan dan keyakinan bahawa rakyat negeri ini akan memberi kemenangan kepada parti itu bagi menerajui negeri tersebut pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.
Iltizam tersebut merupakan manifestasi keazaman dan keyakinan total pucuk pimpinan dan para petugas parti serta ahli PAS Pahang keseluruhannya.
“Jika semua ahli khususnya jentera parti taat dan patuh perintah Allah SWT, insya-Allah kita akan mendapat pertolongan daripada Allah SWT.
“Kedua, ahli wajib taat dan patuh dengan arahan pimpinan. Jika ahli mengikut arahan gerak kerja parti, ianya adalah sebahagian dari strategi parti untuk menawan negeri Pahang,” ujar Pesuruhjaya PAS Pahang, Dato’ Ustaz Rosli Abdul Jabar.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penangguhan program Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden Peringkat Negeri Pahang di Dewan al Makmur, Kerdau kelmarin.
Dua orang ahli panel terdiri daripada Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad serta Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari membentang kertas kerja masing-masing pada program yang berakhir hampir jam 12 tengah hari itu.
Ustaz Rosli yang juga Ahli Dewan Negeri Tanjung Lumpur turut mengingatkan bahawa kekuatan ahli PAS terletak pada akarnya yakni tarbiah yang menjadi pasak dan pengikat jiwa ahli-ahli agar sentiasa cinta dengan perjuangan.
“Kita telah merentasi masa yang panjang dan diiringi dengan pelbagai mehnah, namun kita tetap sabar dan istiqamah, berkat iltizam kita semua buah kemenangan semakin meranum.
“Insya-Allah kita akan terus suburkan perjuangan kita dengan kalam wahyu dan sunnahnya. Jangan pernah merasakan kita tiada harapan dan lemah bila berpegang dengan Islam kerana itulah simpulan ikatan yang paling kukuh.
“Kita terus melangkah sehingga tema ‘Teraju Pahang’ menjadi kenyataan,” ujarnya sambil diiringi laungan takbir dan ‘PAS Teraju Pahang’.
Turut dilancarkan ialah Tabung At-Taawun Makmur di hadapan hampir seribu orang peserta yang hadir mewakili 14 kawasan seluruh Pahang. – HARAKAHDAILY 12/11/2024