Berapa peruntukan sepatutnya MP Kuala Krau dapat?

Ustaz Kamal Ashaari
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Peruntukan Khas Perdana Menteri untuk kawasan Parlimen hanyalah sebagai penambah dan pelengkap kepada peruntukan di bawah Rancangan Malaysia Lima Tahun, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa.

- Advertisement -

“Penyediaan dan penyaluran peruntukan ini adalah mengikut dasar sedia ada dan tertakluk kepada kemampuan semasa kewangan kerajaan,” ujarnya dalam jawapan bertulis kepada soalan Ustaz Kamal Ashaari [PN-Kuala Krau) di Dewan Rakyat, hari ini.

Ustaz Kamal dalam soalannya meminta Perdana Menteri menyatakan peruntukan yang sepatutnya Ahli Parlimen Kuala Krau dapat, dan sekiranya peruntukan tersebut telah pun disalurkan ke kawasan Kuala Krau, pihak manakah yang menerimanya dan bertanggungjawab untuk mengagihkannya.

Menurut Zaliha, bagi tahun 2024, Kawasan Parlimen Kuala Krau telah diluluskan peruntukan berjumlah RM1.93 juta bagi 59 projek di bawah peruntukan Projek Mesra Rakyat (PMR) yang diselaras oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM).

Selain itu, ujarnya kelulusan lain yang telah diselaraskan berdasarkan permohonan sehingga 22 Oktober lalu adalah sebanyak 27 projek dengan jumlah peruntukan sebanyak RM1.194 juta.

Ini, jelasnya menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan yang telah diluluskan bagi Parlimen Kuala Krau adalah sebanyak RM3.124 juta bagi pelaksanaan 86 projek/program.

Katanya, Perdana Menteri telah menegaskan bahawa peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang akan diputuskan selepas selesai proses perundingan di antara Ketua Whip Pembangkang dan Ketua Whip Kerajaan. – HARAKAHDAILY 12/11/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -