KUALA LUMPUR: Dato’ Wira Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) meminta penjelasan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) untuk mempertingkatkan penglibatan pelajar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
“Saya difahamkan Mosti juga terlibat dengan begitu aktif dalam mempertingkatkan bilangan pelajar-pelajar yang menceburi bidang STEM terutamanya dalam pakej A dan B, serta sains tulen.
“Selain itu, terangkan perkara-perkara yang telah dilaksanakan oleh kementerian,” katanya ketika mencelah ucapan penggulungan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Untuk rekod, pakej STEM A memberi penekanan kepada subjek sains tulen dan Matematik seperti Fizik, Kimia, Biologi dan Matematik, manakala pakej STEM B pula menekankan bidang kejuruteraan dan teknologi.
Inisiatif ini bertujuan untuk menyediakan pelajar dengan kemahiran yang relevan bagi memenuhi keperluan tenaga kerja dalam industri yang semakin berkembang.
Sementara itu, Lih Kang berkata, pihaknya akan menyediakan satu salinan kepada Yang Berhormat Kubang Pasu bagi memastikan maklumat itu sampai kepada mereka.
Lih Kang turut mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan beliau terhadap isu ini. – HARAKAHDAILY 11/11/2024