KUALA LUMPUR: Ir Ts Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut), mencadangkan agar tindakan punitif yang lebih berat dikenakan terhadap syarikat penerbangan yang didapati tidak kompeten dalam pengurusan penerbangan, khususnya yang melibatkan masalah teknikal.
Beliau merujuk kepada kod perlindungan pengguna penerbangan Malaysia yang memberi tumpuan kepada hak pengguna, terutamanya dalam kes kelewatan atau penangguhan penerbangan.
“Apakah ada tindakan punitif selain daripada kita kenakan EOC (Electronic Operations Certificate) daripada tiga tahun kepada satu tahun,” soalnya semasa mengemukakan soalan tambahan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau turut menyentuh isu kekurangan tenaga pakar dalam penyelenggaraan kapal terbang, yang menyebabkan kesulitan dalam operasi penerbangan.
“Jadi apakah tindakan jangka masa pendek untuk menyelesaikan masalah ini?” soalnya.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, Malaysia Airlines Berhad (MAB) kini sedang berusaha untuk mengatasi masalah kekurangan tenaga mahir dalam sektor penerbangan.
Menurutnya, MAB juga sedang melatih pekerja baru bagi memastikan kelangsungan industri penerbangan.
“Walaupun ramai tenaga mahir yang meninggalkan sektor ini selepas pandemik Covid-19, MAB kini berusaha menarik semula kepakaran yang ada dalam negara,” katanya.
Mengenai tindakan punitif, beliau berkata, MAVCOM (Suruhanjaya Penerbangan Malaysia) sedang merangka langkah-langkah untuk menangani isu ini.
Walaupun beliau tidak dapat memberikan butiran lanjut pada ketika itu, beliau berjanji akan memberikan jawapan bertulis dalam masa terdekat bagi memastikan konsistensi dalam pengurusan isu ini. – HARAKAHDAILY 11/11/2024