KUALA LUMPUR: Dato’ Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) meluahkan rasa kecewa terhadap keputusan kerajaan yang dilihat tidak mengenakan sebarang hukuman tegas terhadap syarikat yang terlibat dalam projek bernilai berbilion ringgit.
Terdahulu, sisa jadi tenaga (WTE) bernilai RM4.5 bilion telah diserahkan kepada YTL Communications Sdn Bhd (YTL) pada 2019, kemudian syarikat yang sama turut diberikan projek bernilai RM43.46 bilion berhubung dengan projek Multi Lane Free Flow (MLFF) pada 2021.
Seterusnya, pada April 2022, YTL juga diberikan lesen bank digital diikuti dengan lanjutan tempoh konsesi pada 2024 yang melibatkan nilai lebih kurang RM6 bilion.
“Jadi seolah-olah tidak ada hukuman langsung, ini bermakna perkara ini akan akan berjalan seperti biasa.
“Apakah terdapat analisa kajian impak ekoran peralihan pelantaran persekitaran pembelajaran maya atau pembelajaran persekitaran kepada Google Classroom dan Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa) sebagai opsyen pelantar pembelajaran alternatif secara keseluruhannya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Dalam soalan asal, beliau meminta Menteri Pendidikan menyatakan status terkini projek 1BestariNet dan apakah tindakan undang-undang yang telah dikenakan terhadap syarikat yang telah diberikan tender tersebut.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, berkata pelaksanaan projek 1BestariNet ini masih dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Kementerian bersedia memberi kerjasama dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak SPRM untuk menyiasat perkara ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/11/2024