Pendapatan pelabuhan Labuan masih rendah

Roslan Hashim
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) menyuarakan kebimbangan berhubung pendapatan pelabuhan Labuan yang jauh lebih rendah berbanding pelabuhan-pelabuhan utama di Malaysia seperti West Port dan Pelabuhan Pulau Pinang.

- Advertisement -

Beliau berkata, walaupun pendapatan pelabuhan Labuan pada tahun 2023 meningkat kepada RM1.15 bilion, peningkatan 56.2 peratus berbanding RM735.98 juta pada tahun 2022, jumlah itu masih dianggap rendah.

“Ini satu pergerakan yang agak berjayalah kalau ikut itu. Tetapi, pendapatan masih lagi rendah jika dibandingkan dengan West Port, North Port ataupun di Pulau Pinang.

“Adakah kerajaan merancang untuk menambah baik pelabuhan ini untuk meningkatkan pendapatan,” soalnya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Selain itu, beliau turut bertanya tentang status projek pembangunan pelabuhan tambahan di Pulau Carey sebagai langkah untuk menangani kesesakan di West Port.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, Labuan hanya mencatat 399 persinggahan kapal pada tahun 2023, dengan jumlah kargo 129,932 tan dan 16,376 unit kontena.

“Ini memang kecil tetapi berkaitan kenapa port itu sekarang sebagaimana juga dengan kenapa ianya pengukuhan perlu dibuat? Ini semuanya untuk supaya dapat menampung lagi, kalau ada pertambahan-pertambahan di strengthen valve itu lagi untuk memastikan ianya boleh mengangkat beban banyak lagi kontena ataupun yang lain lagi untuk nak menampung port yang ada sekarang ini,” katanya.

Menjawab berhubung cadangan pelabuhan di Pulau Carey, Hasbi mengesahkan bahawa Perdana Menteri telah merasmikan majlis pecah tanah bagi projek penyambungan West Port ke Pulau Carey. – HARAKAHDAILY 11/11/2024