KOTA BHARU: Seramai 1,152 pemain dari 48 pasukan bakal beraksi pada perlawanan bola sepak peringkat DUN di seluruh Kelantan bagi merebut Piala Menteri Besar.
Jumlah berkenaan tidak termasuk pengurus serta pengendali setiap pasukan bola sepak di peringkat DUN, yang dianggar antara lima hingga enam orang.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat, Zamakhshari Muhamad berkata, kejohanan bola sepak itu akan berlangsung bermula 29 November ini dan dijangka berakhir hujung Januari 2025.
Menurutnya, selain pasukan mewakili 45 DUN seluruh Kelantan, tiga lagi pasukan jemputan turut bersaing bagi merebut Piala Menteri Besar.
“Pasukan terbabit iaitu Gua Musang Orang Asli (GMOA), Uttama’ FC mewakili pasukan pelbagai kaum dan YIK KESSUMA pasukan pelapis Yayasan Islam Kelantan bawah umur 18 tahun.
“Sebanyak 16 kumpulan dibentuk daripada 48 pasukan dan setiap kumpulan mempunyai tiga pasukan.
“Lokasi perlawanan antaranya, padang Majlis Daerah Machang, padang Majlis Daerah Ketereh Perbandaran Islam, Majlis Daerah Tanah Merah, padang Penjara Pengkalan Chepa dan UiTM Machang,” ujarnya ketika ditemui di pejabatnya hari ini.
Piala Menteri Besar diperkenalkan enam tahun lalu dianjurkan Urus Setia Belia dan Sukan Negeri (U-Bes) melibatkan anak muda bawah 25 tahun dari 45 DUN. – HARAKAHDAILY 11/11/2024