PASTI Tangga Batu bertambah atas kepercayaan waris

- Advertisement -

TANGGA BATU: Pertambahan jumlah murid yang mendaftar di Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Kawasan Tangga Batu adalah kerana kepercayaan ibu bapa terhadap institusi itu.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Tangga Batu, Bakri Jamaluddin berkata, permintaan yang tinggi terhadap kemasukan ke tadika itu pula menyebabkan keperluan untuk membuka lebih banyak cawangan baharu PASTI di kawasan itu.

“Dalam kawasan Tangga Batu ni kita ada 19 PASTI. Setiap tahun meningkat jumlahnya. Bila ada sahaja taman perumahan baharu dibuka, akan bertambah cawangan PASTI, insya-Allah.

“Murid kita ada ialah 1,184 orang dan 91 tenaga pengajar dan pembantu PASTI. Saya sebagai Ahli Parlimen Tangga Batu saya mengucapkan tahniah kepada kepimpinan dan guru-guru atas kejayaan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap merasmikan program Alam Ria PASTI Kawasan Tangga Batu yang berlangsung di sebuah sekolah, di sini kelmarin.

Kata Bakri, lima tahun lepas sewaktu beliau baru pulang ke tanah air dari Indonesia untuk aktif semula dalam PAS, hanya ada 11 sahaja PASTI cawangan dalam kawasan itu pada waktu itu.

Tambah beliau, ibu bapa memberi kepercayaan terhadap pendidikan PASTI kerana ia dibina atas asas Islam yang berlandaskan tarbiyah yang berasal dari kata dasar ‘Rab’ ataupun ketuhanan.

“Program pendidikan yang berteraskan kepada pendidikan Islam itu mesti akar yang pertama adalah ketuhanan, ‘Rab’.

“Sebab itu guru-guru saya yang saya menadah kitab mereka sebut, iqra’ ini ia bukan sahaja baca, iqra’, ia juga termasuk hafal, kaji, baca, tulis. Tetapi semua itu tidak boleh lari dari dasar ‘Rab’,” katanya.

Kerana itu menurut beliau, ramai ibu bapa memilih PASTI sehingga ia mendapat tempat terutama dalam kalangan generasi muda kerana sistemnya yang diakui terbaik kerana meletakkan ‘Rab’ sebagai asas.

“Sebab itu kita boleh lihat anak kita akhlak dia macam mana, pergaulan mereka macam mana, adab mereka macam mana, kerana jika pendidikan bersumberkan daripada ketuhanan, kepada ‘Rab’ tadi insya-Allah yang terbaik,” katanya.

Ketua Sektor Pendidikan Pemuda PAS Tangga Batu, Ustaz Mohd Annuar Ibrahim pula menzahir rasa teruja beliau melihat ibu bapa memberi sokongan sangat tinggi terhadap anak-anak mereka yang menyertai pertandingan berlangsung.

“Bila mana saya tengok acara berlangsung ni, meskipun anak-anak yang masuk, bila saya tengok tadi dalam acara bercerita, mak ayah yang duduk tu siap pegang teks, mereka pun sama bagi sokongan pada anak-anak yang masuk bertanding.

“Saya ucapkan terima kasih kepada ibu ayah yang terus menyokong anak-anak demi memastikan bahawa kemenjadian anak-anak ini bukan semata-mata berada di PASTI tetapi bermula dari rumah kita,” katanya.

Tambah beliau, program pertandingan seperti itu adalah sesuatu yang sangat berguna untuk melatih murid-murid membaca, menghafal dan meningkatkan keyakinan diri mereka dalam kehidupan.

Turut hadir dalam program tersebut ialah Pengerusi PASTI Tangga Batu, Ustaz Ahmad Fahmi Abdul Malik dan Pengerusi Majlis Guru  PASTI (MGP) kawasan, Norliza Razli.

Seramai 385 peserta dari seluruh 19 PASTI dalam kawasan itu telah mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut

Dalam pertandingan tersebut PASTI An-Nuriah Sungai Udang telah dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan apabila menggondol johan lima daripada 10 acara yang dipertandingkan.

Bagi Kategori Nasyid, Johan adalah dari PASTI An-Nuriah; Kategori Kalam Jamaie (PASTI Siti Khadijah); Kategori Azan (PASTI Siti Khadijah); Kategori Hafazan Lelaki (PASTI An Nuriah); Kategori Hafazan Perempuan (PASTI Al Huda); Kategori Sajak Lelaki (PASTI An Nuriah).

Sementara johan bagi Kategori Sajak Perempuan pula jatuh kepada PASTI Al Huda; Kategori Bercerita Lelaki (PASTI An Nuriah); Kategori Bercerita Perempuan (PASTI Al Huda); Kategori Pidato (PASTI Al Munir 1) dan johan bagi Kategori Khutbah ialah ialah PASTI An Nuriah. – HARAKAHDAILY 11/11/2024