Kerajaan Madani gagal laksana agenda reformasi

Ahmad Fadhli Shaari
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kira-kira 20 tahun lalu kalimah keramat reformasi menjadi impian Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk melakukan perubahan menyeluruh dalam pentadbiran negara.

- Advertisement -

Bahkan gema reformasi kedengaran semula pada 24 November 2022 susulan Ahli Parlimen Tambun itu diangkat sebagai Perdana Menteri ke-10 selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Bagimanapun mantan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya berpandangan kerajaan sekarang gagal melaksanakan apa yang pernah diuar-uarkan sebelum ini.

Kata Latheefa banyak perubahan dibuat pada zaman Dato’ Seri Najib Razak memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 selain mewujudkan Akta Perhimpunan Awam menggantikan Akta Polis 1967.

Mengulas isu tersebut Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fahdli Shaari berkata, sekarang semakin ramai mempertikaikan agenda reformasi yang pernah dilaung Anwar sebelum ini.

Malah katanya slogan tersebut terus dilaung dalam setiap program kerajaan biar pun ia tidak memperlihatkan hasil yang memberi manfaat besar kepada rakyat.

“Masih ada lagi yang percaya kerajaan sekarang kerajaan reformasi,” ujarnya sambil berkongsi video temubual peguam hak asasi, Latheefa Koya di Facebooknya semalam.

Ahmad Fahdli yang juga ahli parlimen Pasir Mas berkata, beliau yakin kerajaan Madani tidak akan menghapuskan Akta Hasutan yang menjadi polemik ketika ini.

Malah kata beliau kerajaan memberi pelbagai alasan untuk mengekalkan peraturan demi kepentingan sesetengah pihak.

“Najib Tun Razak tidak laungkan reformasi, tetapi dari segi apa yang dibuat dari segi perundangan contoh ISA, yang mansuh ISA ialah Najib.

“Saya tak boleh bayangkan kalau ISA masih ada sekarang,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/11/2024