KOTA BHARU: Kelantan Darul Naim FC II (KDNFC II) cemas sebelum mencatatkan kemenangan tipis 1-0 ke atas Kuala Lumpur City FC B pada saingan Piala MFL 2024/25 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur di Cheras, petang kelmarin.
Kemenangan kedua berturut-turut tanpa bolos itu berjaya dicipta skuad kendalian Khairan Eroza Razali dalam tempoh seminggu.
Pada aksi itu, KL City FC B menguasai sebahagian besar masa perlawanan pada peringkat awal, namun terpaksa akur dengan penyudah tajam penyerang muda, Asraff Aliffuddin pada minit ke-79.
Perkembangan itu juga hasil jaringan kemenangan kedua dari Asraff dalam tempoh seminggu buat pasukan pembangunan Sang Kijang Emas.
Permulaan perlawanan tampak memihak kepada KL City FC apabila taktikal Nidzam Adzha jelas mengunci pergerakan pemain KDNFC II.
Banyak peluang dimiliki KL City FC B namun digagalkan dengan penyudah tumpul serta aksi kemas bek KDNFC II sekali gus mengikat perlawanan tanpa gol untuk 45 minit pertama.
Bersambung babak, KL City FC B terus rancak mengatur gerak dengan sesekali gandingan Zuasyraf, Asraff dan Syahir melancarkan serangan balas.
Kemasukan Amjad Huzeny jelas mengubah sedikit tempo perlawanan kerana beliau bijak memanfaatkan larian pantas dari sebelah kanan untuk melakukan hantaran silang kepada Asraff.
Seterusnya hantaran itu disudahkan ke dalam gawang tuan rumah yang dikawal oleh Lawton James Green pada minit ke-79.
Kememangan itu tentu sahaja memgembirakan Presiden KDN FC, Rozi Muhammad, malah beliau sendiri turut turun padang menyaksikan perlawanan itu.
“Tahniah kita ucapkan pada KDN FC II dia tas kemenangan berturut-turut ini, ” katanya. – HARAKAHDAILY 11/11/2024