KUALA LUMPUR: Keperluan tenaga kerja dalam industri semikonduktor negara dijangka melonjak, dengan sasaran 60,000 jurutera dalam tempoh lima hingga sepuluh tahun akan datang.
National Semiconductor Strategy, yang diumumkan oleh Perdana Menteri, bertujuan mengembangkan industri cip dan semikonduktor secara besar-besaran, sekali gus memastikan Malaysia kekal berdaya saing di peringkat global.
Demikian disuarakan oleh Dato’ Wira Dr. Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) dalam celahan ucapan penggulungan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir di Dewan Rakyat, hari ini.
“Kita menghadapi banyak cabaran untuk memenuhi keperluan ini, antaranya kekangan dalam input pelajar ke Institut Pengajian Tinggi (IPT) bagi jurusan yang khusus dalam Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM),” katanya.
Menurutnya, kurikulum di sekolah perlu menekankan STEM tulen dengan pakej khusus untuk melengkapkan pelajar bagi meneruskan pengajian dalam bidang kejuruteraan.
“Berdasarkan data Kementerian Pendidikan dan persatuan yang terlibat, pada tahun 2022, hanya 7,000 graduan kejuruteraan dikeluarkan, dengan purata 5,000 graduan setahun dalam dekad yang lalu.
“Jumlah ini jauh daripada sasaran 60,000 jurutera semikonduktor, tidak termasuk sektor-sektor lain seperti kenderaan elektrik (EV) dan tenaga solar yang turut memerlukan jumlah jurutera yang besar,” tambahnya.
Justeru, beliau menekankan bahawa kementerian perlu melipatgandakan usaha untuk mencapai sasaran tersebut.
“Jadi, apa cabaran yang dihadapi oleh IPT dan apakah perancangan untuk kita menangani isu ini? Sebab keperluan ni amat mendesak sekali. Perdana Menteri, Menteri MITI, all out pergi cari pelabur-pelabur, tapi kalau kita tak ada jurutera yang cukup untuk memenuhi keperluan ini, mungkin mereka akan mencari tempat lain.
“Apakah perancangan IPT, khususnya IPTA, untuk menangani isu ini?” soalnya.
Dr. Zambry menjelaskan, kerajaan telah merangka beberapa pendekatan untuk menangani kekurangan ini, termasuk kerjasama antara kementerian, industri dan IPT untuk memenuhi keperluan pasaran dalam jangka masa panjang. – HARAKAHDAILY 11/11/2024