KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) perlu bertindak segera berkenaan isu audio melibatkan pemberian rasuah kepada beberapa seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari berkata, PAS memandang serius mengenai isu dilaporkan oleh Malaysiakini melibatkan ADUN-ADUN di sebuah negeri yang tidak dinyatakan itu.
“Dakwaan ini sangat membimbangkan dan merosakkan integriti institusi politik serta demokrasi negara yang kita cintai,” katanya dalam satu kenyataan pada hari ini.
Menurut beliau, PAS menegaskan bahawa SPRM mempunyai tanggungjawab moral dan undang-undang untuk bertindak segera terhadap dakwaan sebegini walaupun tiada aduan rasmi yang dibuat.
Tegas beliau, SPRM harus melaksanakan tindakan proaktif dalam siasatan bagi memastikan setiap dakwaan rasuah terutamanya melibatkan pemimpin dan wakil rakyat diambil serius.
“SPRM tidak wajar hanya menunggu aduan secara rasmi untuk bertindak, sebaliknya harus memulakan siasatan berasaskan maklumat awal yang telah diketahui umum.
“Sehubungan itu, PAS memohon SPRM untuk memulakan siasatan secara telus, adil, dan menyeluruh terhadap dakwaan ini tanpa berlengah lagi.
“Tindakan segera perlu diambil untuk membuktikan komitmen SPRM dalam memerangi gejala rasuah yang boleh menjejaskan kesejahteraan rakyat serta mencalarkan imej negara di mata dunia,” ujarnya.
Sehubungan itu juga Fadhli menyatakan PAS mengajak semua pihak untuk tidak menyebarkan spekulasi yang tidak berasas sehingga siasatan lengkap dijalankan.
“Ini kerana kita percaya bahawa kebenaran akan muncul melalui proses siasatan yang telus dan profesional oleh pihak berkuasa. PAS komited dalam memperjuangkan politik bersih dan menolak sekeras-kerasnya sebarang bentuk amalan rasuah.
“PAS juga menegaskan bahawa setiap individu yang terlibat dalam perbuatan tidak bermoral ini, sekiranya terbukti bersalah, harus dikenakan tindakan undang-undang yang sewajarnya tanpa mengira latar belakang atau kedudukan mereka,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/11/2024