Arena sukan juga mangsa provokasi melampau Israel

Rusuhan penyokong bola sepak kelab Israel di Amsterdam

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman mengecam rusuhan bola sepak yang berlaku di Amsterdam, Belanda kelmarin dahulu sebagai provokasi melampau oleh penyokong Israel.

- Advertisement -

Beliau bagaimanapun menyifatkan situasi cuba ditontonkan kepada dunia dari kejadian itu seperti pepatah Arab yang berbunyi, “Dia memukul aku, dia pula menangis. Dia memaki aku, dia pula mengadu”.

“Tidak cukup dengan keganasan regim Zionis Israel ke atas rakyat Palestin yang melampaui batas kemanusiaan dan melanggar undang-undang antarabangsa, dunia dikejutkan dengan insiden rusuhan melibatkan penyokong kelab bola sepak Israel di Amsterdam.

“Dilaporkan sekumpulan penyokong bola sepak Israel telah menjadi sasaran rusuhan selepas perlawanan Liga Europa antara pasukan Maccabi-Tel Aviv dan kelab Ajax di Amsterdam, Belanda pada 8 November,” ujar Syahir dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily hari ini.

Menurut berita, pertempuran tersebut adalah akibat daripada peningkatan ketegangan ‘provokasi’ di pihak penyokong kelab Israel di sekitar kota Amsterdam, beberapa hari sebelum perlawan.

“Beratus-ratus penyokong Maccabi-Tel Aviv datang ke Amsterdam, mengadakan perhimpunan yang lantang di dataran utama sebelum kejadian, mengibarkan bendera Israel, dan juga menurunkan bendera Palestin,” kata pelapor Al-Jazeera, Step Vaessen.

Video media sosial turut merakamkan insiden penyokong Israel melaungkan slogan anti-Palestin ketika seorang individu menurunkan bendera Palestin di premis kediaman penduduk tempatan.

Malah dalam satu video, penyokong Israel kedengaran menyanyi: “Biar IDF menang, dan sialkan Arab!,” merujuk kepada serangan tentera Israel ke atas Gaza.

“Mereka mula menyerang rumah orang di Amsterdam dengan bendera Palestin, jadi di situlah keganasan bermula,” kata Ahli Majlis Jazie Veldhuyzen kepada media antarabangsa itu.

Sebagai reaksi, penduduk Amsterdam menggerakkan diri mereka dan menentang provokasi melampau yang bermula pada hari Rabu oleh ‘samseng’ Israel tersebut.

Pengulas politik Israel, Ori Goldberg memberitahu Al-Jazeera, insiden keganasan terbaru ini menunjukkan bahawa naratif anti keganasan Israel telah mengambil alih Eropah.

“Hakikat bahawa penyokong Israel merusuh di tengah-tengah Amsterdam, menyanyikan lagu-lagu perkauman dan memanjat dinding rumah untuk menurunkan bendera Palestin.

“(Ia) adalah sebahagian daripada keadaan Israel pada masa ini, suatu pemisahan yang ketara antara tindakan dan akibatnya,” katanya penganalisis itu.

Insiden rusuhan (hooligan) penyokong bola sepak Israel ini telah mencetuskan semula tekanan untuk menggantung pasukan Israel daripada menyertai kejohanan Piala Dunia FIFA dan Piala Euro UEFA, melalui kempen #RedCardIsrael dan #BanIsraelFIFA.

Ini susulan tindakan FIFA yang menangguhkan keputusan badan induk bola sepak tersebut terhadap cadangan Palestin supaya Israel digantung daripada sukan bola sepak antarabangsa susulan kekejaman jenayah perang di Gaza.

FIFA sebelum itu pada Julai merancang mengadakan mesyuarat luar biasa membincangkan perkara tersebut selepas penilaian terhadap cadangan Persatuan Bolasepak Palestin (PFA) dihantar pada Mei lalu, yang sepatutnya diumumkan pada 31 Ogos.

Pihak Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) turut menyatakan sokongan terhadap cadangan Palestin untuk menggantung Israel daripada keanggotaan FIFA berikutan perang berterusan di Gaza.

Usaha tersebut dilihat bertujuan untuk mengenakan sekatan segera dan sewajarnya terhadap pasukan Israel.

“Jelas, seluruh dunia kini mengutuk dan menolak segala bentuk keganasan dan kezaliman, termasuk provokasi yang dicetuskan oleh Israel, di medan perang mahupun di lapangan sukan antarabangsa,” tegas Syahir. – HARAKAHDAILY 11/11/2024