KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang membabitkan 7 negeri sehingga jam 3 petang, hari ini.
MetMalaysia dalam kenyataannya berkata, antara kawasan yang terlibat iaitu dua kawasan di negeri Kedah, membabitkan kawasan Kulim dan Bandar Baharu.
“Selain itu, turut diramalkan berlaku ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di seluruh kawasan Pulau Pinang.
“Manakala di Perak pula melibatkan kawasan Kerian, Larut, Matang dan Selama, Manjung, Perak Tengah, Bagan Datuk dan Hilir Perak.
“Turut diramalkan berlakunya ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di Selangor yang melibatkan kawasan Sabak Bernam dan Kuala Selangor,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.
Di Sarawak pula melibatkan kawasan Miri (Miri dan Marudi), ,anakala di Sabah melibatkan kawasan pedalaman (Kuala Penyu), selain turut diramalkan juga di semua kawasan di Wilayah Persekutuan Labuan.
Menurutnya, amaran ribut petir merupakan peringatan jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.
Orang ramai boleh melayari laman sesawang MetMalaysia untuk mengetahui tahap cuaca terkini di Malaysia,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/11/2024