Sambut seruan penyatuan, bukan polemik mimpi

Dato’ Ustaz Ahmad Yahaya
- Advertisement -

KANGAR: Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dato’ Ustaz Ahmad Yahaya berkata, seruan untuk penyatuan umat Islam perlu disambut baik oleh semua pihak dan tidak dipolemikkan dengan isu mimpi.

- Advertisement -

Ujarnya, mimpi Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, yang diceritakan dalam program dalaman parti bertujuan sebagai pengajaran kepada anak muda, bukan sebagai dalil atau wahyu.

“Mimpi itu hanya satu berita gembira yang menggambarkan rapatnya hubungan Tuan Guru Presiden dengan Rasulullah SAW. Kita tidak pernah menjadikan mimpi sebagai dalil atau wahyu,” kata beliau ketika ditemui selepas program Munaqayah Ucapan Dasar Presiden PAS Peringkat Negeri Perlis di Hotel Sri Malaysia, hari ini.

Beliau menegaskan, isu tersebut telah diperbesar-besarkan sehingga isu-isu lebih penting seperti penyelewengan dan rasuah di negara ini terpinggir.

“Ada banyak isu utama lain yang sepatutnya diberi perhatian, dan ini termasuk usaha penyatuan umat Islam. Itulah kunci kepada kekuatan kita,” katanya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung isu mimpi Presiden PAS tersebut.

Beliau juga mengarahkan Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah untuk memberikan penjelasan yang lebih jelas kepada masyarakat bagi mengelakkan salah faham. – HARAKAHDAILY 10/11/2024