ROMPIN: PAS terus menunjukkan komitmen terhadap kebajikan rakyat menerusi Program Rumah Budi 3.0 di Felda Keratong 1.
Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang, Dato’ Ustaz Rosli Abdul Jabar menegaskan bahawa walaupun kerajaan negeri telah melaksanakan pelbagai projek rumah, namun ianya masih belum mencukupi untuk memenuhi keperluan ramai rakyat yang menghadapi kesukaran untuk memiliki rumah.
“Walaupun Kerajaan Negeri Pahang ada pelbagai projek rumah, tetapi ianya tidak menyeluruh dan ramai rakyat yang masih memerlukan rumah.
“Salah satu cabaran besar adalah kenaikan kos pembinaan yang melambung tinggi, menyebabkan banyak rakyat yang tidak mampu membina rumah sendiri,” ujar beliau ketika merasmikan program tersebut, petang tadi.
Namun, beliau menekankan bahawa PAS tetap berusaha untuk membantu rakyat, walaupun tanpa peruntukan kerajaan.
“Semua ini adalah hasil sumbangan orang ramai dan usaha kita bersama bagi menjayakan agenda kebajikan kepada rakyat’.” katanya yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Tanjung Lumpur.
Beliau juga menegaskan bahawa sekiranya PAS diberikan kuasa pemerintahan, agenda rakyat inilah yang akan menjadi agenda utama untuk dilaksanakan.
“Inilah PAS, jika kita diberikan kuasa pemerintahan nanti, inilah agenda yang akan kita usahakan untuk rakyat,” tambah beliau.
Program Rumah Budi 3.0 ini merupakan salah satu inisiatif yang dijalankan oleh PAS melalui Lajnah Kebajikan dan Keprihatinan Sosial PAS untuk membantu rakyat khususnya di kawasan luar bandar, dengan memberi peluang kepada golongan miskin dan kurang mampu untuk memiliki rumah yang selesa.
Turut hadir dalam program itu adalah Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Keprihatinan Sosial PAS Pusat, Dr Rosni Adam, Pengarah Khidmat Malaysia, Khairul Faizi Ahmad Kamil, Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Dato’ Andansura Rabu dan Ahli Dewan Negeri Bukit Ibam, Ustaz Nazri Ahmad.
Sebanyak 68 borang permohonan keahlian PAS telah diserahkan kepada Ustaz Rosli dalam program tersebut. – HARAKAHDAILY 10/11/2024