Purata kepadatan ikan tukun tiruan Terengganu 70.5%

Dr Azman Ibrahim
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Purata kepadatan ikan di tukun-tukun tiruan Terengganu ialah 70.5 peratus, kata Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim.

- Advertisement -

Menurutnys, kepadatan itu adalah yang tertinggi di perairan Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

“Data kepadatan ini dikeluarkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia hasil kajian bersama institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan,” ujarnya menerusi satu hantaran di laman Facebook beliau.

Katanya, beliau tidak pernah mengira kepadatan ikan walaupun biasa membuat selaman dasar laut untuk pemantauan tukun tiruan.

Beliau turut menjelaskan mengenai soalan daripada peserta Dialog Exco di Marang, baru-baru ini yang mendakwa ikan di laut semakin berkurangan.

Dr Azman menjelaskan bahawa pihaknya ada data dan angka yang menunjukkan pendaratan ikan oleh nelayan Terengganu meningkat daripada lebih 33,000 metrik tan pada tahun 2022 kepada lebih 46,000 metrik tan pada 2023 yang bernilai kira-kira RM553 juta dengan peningkatan kira-kira 39 peratus.

Jelas ADUN Jabi itu, nelayan di negeri ini berjumlah kira-kira 8,000 orang.

Katanya lagi, meningkat pendaratan bermakna meningkat hasil dan pendapatan untuk rakyat.

Tamahnya, pendapatan meningkat bermakna ekonomi berkembang.

“Dalam masa yang sama kita juga turun ke lapangan sama ada ke laut, jeti, kompleks perikanan dan kedai kopi bagi mendapatkan sendiri maklum balas dari para nelayan supaya kita tidak hanya syok sendiri dengan data dan angka di atas kertas.

“Alhamdulillah, respons daripada kawan-kawan nelayan berkaitan peningkatan hasil tangkapan amat menggembirakan,” ujarnya lagi.

Beliau berkata, perairan Terengganu juga menjadi tumpuan nelayan dari negeri-negeri jiran seperti Kelantan dan Pahang malah Johor.

“Kenapa mereka datang ke Terengganu kalau laut kita tak ada ikan?” katanya.

Tambah beliau lagi, Terengganu juga negeri yang paling terdedah kepada pencerobohan nelayan asing.

Baginya, tiada sebab utama lain melainkan kerana laut negeri ini banyak ikan.

“Walau ada lesen selam scuba, saya tak ada kebolehan untuk mengira bilangan ikan di laut.

“Data-data dan dapatan inilah menjadi asas dalam kita membuat laporan dan kenyataan,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 10/11/2024