Perlis melangkah ke arah larangan guna beg plastik

- Advertisement -

KANGAR: Kerajaan Negeri Perlis komited dalam usaha mengurangkan penggunaan beg plastik sekali guna menerusi pelaksanaan pelbagai fasa larangan.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Asrul Aimran Abd Jalil berkata, langkah ini akan dilaksanakan melalui lima fasa bermula dengan pengenaan fi pada beg plastik sehingga pengharaman sepenuhnya pada masa hadapan.

“Pada fasa tiga yang telah dilancarkan pada April 2024, premis-premis perniagaan mengenakan bayaran sebanyak RM0.50 bagi setiap beg plastik yang dibekalkan kepada pelanggan pada hari Jumaat, Sabtu, dan Ahad.

“Seterusnya, fasa empat yang akan bermula pada Januari 2025 akan menyaksikan peningkatan fi kepada RM1.00 bagi setiap helai beg plastik sekali guna pada hari-hari yang sama.

“Mengikut jadual, fasa lima pada Januari 2026 akan menyaksikan kenaikan lagi kepada RM2.00 setiap beg plastik yang dibekalkan kepada pelanggan pada setiap hari,” katanya ketika ditemui, di sini semalam.

Pada akhirnya kata beliau, larangan sepenuhnya terhadap penggunaan beg plastik sekali guna dijangka dilaksanakan dalam fasa enam pada suatu tarikh yang akan ditentukan kemudian oleh kerajaan negeri.

Selain itu tambah Asrul, hasil kutipan fi daripada penggunaan beg plastik ini akan disalurkan ke dalam Akaun Amanah yang diwujudkan oleh Majlis Perbandaran Kangar (MPK).

“Dana yang dikumpulkan akan digunakan untuk kempen kesedaran dan program kebersihan serta pemeliharaan alam sekitar yang berkaitan,” ujarnya lagi.

Sebelum ini, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRECC), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, kerajaan sedang mempertimbangkan larangan penggunaan beg plastik sekali guna di seluruh negara seawal 2026.

Setakat ini, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Kota Kinabalu telah melaksanakan dasar tiada beg plastik sekali guna, dengan Wilayah Persekutuan turut menggalakkan penggunaan beg plastik biodegradasi. – HARAKAHDAILY 10/11/2024