ARAU: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyeru para graduan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) untuk terus meningkatkan kepakaran dan kejayaan dalam pelbagai bidang, selain mempromosikan pencapaian UniMAP dalam kalangan profesional.
Titah baginda, inisiatif itu bertujuan untuk memperkukuhkan prestij universiti, selain memberi nilai tambah kepada graduan UniMAP di pasaran pekerjaan.
Baginda turut menegaskan pentingnya rangkaian alumni sebagai pemudah cara hubungan antara UniMAP dan industri, bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan latihan amali khususnya untuk pelajar tahun akhir.
“Alumni perlu melibatkan diri dalam jawatankuasa penasihat yang dapat memberi panduan terhadap dasar dan program universiti agar kekal relevan mengikut keperluan pasaran,” titah Tuanku Syed Faizuddin.
Titah ini disampaikan oleh Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga Canselor UniMAP, semasa menyempurnakan Sidang Pertama Istiadat Konvokesyen Ke-19 UniMAP di Dewan Ilmu, Kampus Pauh Putra, semalam.
Ketibaan baginda disambut oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Tan Sri Datuk Seri Sufri Mhd Zin dan Naib Canselor Prof Datuk Ts Dr Zaliman Sauli, serta pengurusan tertinggi UniMAP.
Seramai 386 graduan diraikan pada sidang pertama konvokesyen meliputi 82 graduan Doktor Falsafah, 103 graduan Sarjana dari Pusat Pengajian Siswazah (PPS), serta graduan Sarjana Muda dari Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Mekanikal (FKTM).
Pada majlis itu juga, Datuk Profesor Dr Ali Yeon Md Shakaff dianugerahkan gelaran Profesor Emeritus, manakala Cheah Hun Wah menerima Ijazah Kehormat Doktor Kejuruteraan.
Tuanku Syed Faizuddin turut mengajak alumni UniMAP untuk kembali menyumbang kepada universiti melalui perkongsian kepakaran, pengalaman dan pandangan masing-masing.
Titah baginda, ia dapat dilaksanakan melalui bengkel atau kuliah, sekaligus membantu memperkayakan pengalaman akademik dan laluan kerjaya para pelajar UniMAP. – HARAKAHDAILY 10/11/2024