KUALA LANGAT: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADN) Paya Jaras, Dato’ Dr Halim Tamuri berkesempatan menghadiri Sambutan Hari Alam Sekitar Negara 2024 yang diadakan di Pantai Kelanang, di sini.
Menurut beliau, program yang diadakan itu bertujuan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat umum tentang kesedaran menjaga alam sekitar.
“Program ini bukan sahaja memberi manfaat kepada kebersihan alam, tetapi juga memperkukuhkan budaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.
“Salah satu aktiviti utama yang dijalankan ialah ‘KUDAH’, yang bermaksud kutip sampah sambil riadah.
“Aktiviti ini menggalakkan para peserta untuk melakukan aktiviti riadah sambil membersihkan pantai daripada sampah dan sisa buangan yang mencemarkan alam sekitar,” katanya menerusi perkongsian di Facebook miliknya, hari ini.
Tamuri berkata, program yang dianjurkan ini adalah dengan kerjasama Yayasan Strategik Lestari (YSL), Pertubuhan Kelestarian Alam Sekitar dan Iklim Selangor (LESTARI), serta Rakan Alam Malaysia, yang kesemuanya memiliki komitmen yang tinggi terhadap usaha memelihara kelestarian alam sekitar dan mengurangkan kesan perubahan iklim.
“Dengan sokongan padu daripada pelbagai pihak, program ini berjaya menyampaikan mesej penting mengenai perlunya tindakan segera dalam menjaga alam sekitar agar bumi kita terus dapat dinikmati oleh generasi akan datang,” ujarnya.
Beliau berkata, bagi memeriahkan program ini, antara yang turut hadir adalah Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man; Ahli Parlimen Kuala Langat, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADN) Sungai Burong, Ustaz Zamri Mantop.
Justeru, beliau turut berharap agar program seperti ini dapat terus diperluaskan dan memberi impak yang lebih besar.
“Diharapkan lebih ramai masyarakat dapat menyertai inisiatif ini, dan bersama-sama kita memperkukuhkan lagi usaha untuk memelihara dan memastikan kelestarian alam sekitar di negara ini.
“Semoga dengan kesedaran dan tindakan kolektif, kita dapat mewariskan bumi yang lebih bersih, hijau, dan sejahtera kepada generasi akan datang,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/11/2024