Asas pendidikan Islam jadikan PASTI pilihan waris

- Advertisement -

KANGAR: Pendidikan berasaskan Islam menjadi faktor utama ibu bapa memilih Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) sebagai pusat pendidikan awal untuk anak-anak mereka.

- Advertisement -

Pengerusi PASTI Kawasan Kangar, Mohd Suhairi Ghazali berkata, pendekatan pendidikan menekankan nilai akhlak dan ajaran Islam, memberi keyakinan kepada ibu bapa.

Ibu bapa katanya, meyakini bahawa anak-anak mereka akan membesar dalam suasana yang mendorong perkembangan sahsiah positif.

“PASTI memberikan penekanan kepada asas agama seperti bacaan Al-Quran, doa, dan solat yang dijadikan keutamaan dalam membentuk rohani anak-anak.

“Selain itu, kita turut menekankan pendidikan Islam melalui aspek adab dan akhlak, disesuaikan mengikut peringkat umur kanak-kanak bagi memberikan pemahaman agama yang mudah difahami,” katanya selepas Pertandingan Alam Ria PASTI Kangar, di sini semalam.

Tambah beliau, kurikulum PASTI yang komprehensif turut menggabungkan aspek akademik dan moral, serta kemahiran hidup, bagi membantu anak-anak membina asas pendidikan kukuh.

“Guru-guru yang berpengalaman dalam ilmu agama dan pendidikan awal kanak-kanak memainkan peranan penting dalam membimbing bukan hanya dari aspek akademik tetapi juga dalam pembinaan sahsiah dan nilai murni.

“Kita juga menyediakan persekitaran pembelajaran yang mesra kanak-kanak dan selamat, membolehkan mereka bermain dan berinteraksi dalam suasana yang harmoni,” ujarnya lagi.

Selain itu tambah Suhairi, yuran institusi ini berpatutan, menjadi pilihan utama ibu bapa yang inginkan pendidikan Islam berkualiti tanpa membebankan kewangan mereka. – HARAKAHDAILY 10/11/2024