KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di Seksyen A yang melibatkan Perairan Malaysia dalam lingkungan 24 batu nautika sehingga jam 5 petang, hari ini.
MetMalaysia dalam kenyataannya berkata, antara kawasan yang terlibat adalah perairan Pulau Pinang, Perak dan Selangor.
“Manakala di Johor pula diramalkan berlaku di kawasan Johor Timur, seluruh Terengganu dan Kelantan.
“Selain itu, kawasan Sarawak Utara dan Sabah juga turut diramalkan berlaku ribut petir, hujan lebat dan angin kencang” katanya menerusi satu kenyataan di media sosial, hari ini.
Amaran dikeluarkan sekiranya terdapat tanda-tanda ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 millimeter per jam yang berlaku selama hampir atau melebihi satu jam.
Amaran ribut petir merupakan peringatan jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.
Sehubungan itu, dalam kenyataan yang sama di laman sesawang berikut, MetMalaysia berkata, bagi Seksyen B iaitu untuk perkapalan, amaran angin kencang dan laut bergelora (kategori pertama) akan berlaku.
“Angin kencang timur laut berkelajuan 40-50 kilometer sejam (km/j) dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dijangka berlaku di kawasan perairan selatan Condore, Reef North dan Layang-Layang sehingga 11 November 2024.
“Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut,” ujarnya.
Manakala kategori kedua, melibatkan angin kencang timur laut berkelajuan 50-60 kilometer sejam (km/j) dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter dijangka berlaku di kawasan perairan utara Condore sehingga Isnin, 11 November 2024.
“Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/11/2024