BARU-BARU ini, kita dikejutkan dengan kibaran bendera negara asing, khususnya bendera negara China di beberapa buah tempat. Program ini dianjurkan oleh Persatuan Kebudayaan Guan Gong. Sebelum itu, kejadian kibaran bendera China dilakukan di Pulau Pinang.
Di bawah Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Mempamer) 1949 (Akta 193), Seksyen 3 memperuntukkan bahawa tiada seorang pun boleh mempamerkan mana-mana lambang kebangsaan termasuk bendera negara asing di tempat awam atau sekolah.
Bendera merupakan lambang kepimpinan, simbol penghormatan, martabat dan kedaulatan bagi sesebuah negara. Setiap negara mempunyai bendera yang tersendiri untuk mewujudkan perasaan bangga terhadap tanah air. Bendera ditakrifkan sebagai sebidang kain yang diperagakan bagi menunjukkan tanda dan lambang kewujudan yang juga dikenali sebagai panji dan obor. (MyGovernment, 2017)
Alasan kebudayaan
Kita perlu sedar, kebudayaan bukanlah menjadi alasan untuk sewenang-wenangnya melanggar undang-undang. Wacana berkenaan kebudayaan meleret panjang dalam dunia akademik kerana melibatkan Sains Sosial, Ideologi, dan sebagainya.
Apabila kita meneliti wacana di dunia Barat, antara yang menjadi perdebatan ialah Faham Multibudaya, dan kemudiannya mendapat kritikan hebat. Seterusnya mencetuskan Teori Pascaetnik. Termasuk juga perbincangan terhadap Faham Multibudaya VS Faham Antara Budaya.
*Asal usul*
Faham Multibudaya menghangat selepas Perang Dunia Kedua. Mereka ketika itu disebutkan sebagai generasi Pascaperang. Kesan panjang penjajahan, perang dan sebagainya, menyebabkan wujudnya migran di merata tempat.
Dari sini, secara alaminya, telah membina struktur masyarakat yang berbilang-bilang di sesebuah negara. Pihak pemerintah negara, terpaksa menghadap isu ini, dan berfikir bagaimana untuk menguruskannya. Di sinilah tercetusnya Faham Multibudaya.
Maksud Faham Multibudaya
Faham Multibudaya biasanya merujuk kepada dasar yang dibentuk oleh kerajaan pusat dan pihak berkuasa tempatan yang telah diguna pakai untuk mengurus dan mentadbir masyarakat pelbagai etnik, yang telah diwujudkan oleh penduduk imigran selepas Perang Dunia Kedua (Ahmad, 2015)
Faham Multibudaya menjadi wacana awam pada penghujung 1960-an sehingga awal 70-an, khususnya apabila Australia dan Kanada menyatakan sokongan mereka ke atas fahaman ini. (Ahmad, 2015)
Faham Multibudaya di Kanada
Antara yang terawal menyokong Faham Multibudaya ialah Australia dan Kanada. Sejak inilah kedua-dua negara ini menerima penghijrahan baru yang meng’Asian’kan mereka. Pada 1960-an, Kanada menghadapi masalah hubungan antara orang Inggeris dan Perancis, sehingga membawa kepada Akta Dwibudaya dan Dwi Bahasa 1969. (Ahmad, 2015)
Namun, ia tak selesai tahap itu sahaja, timbul persoalan berkenaan masyarakat minoriti yang lain di Kanada. Akhirnya negara itu terpaksa membina identiti baru sebagai budaya pluralisme apabila masyarakat minoriti tadi sudah menjadi berbilang-bilang, melalui Akta Multibudaya 1988.
Faham Multibudaya di Britain
Selepas Perang Dunia Kedua, Britain telah menerima kebanjiran imigran dari India, Pakistan, Bangladesh dan Kepulauan Carribean. Sejak itu, masing-masing mula bermastautin di sana.
Situasi ini telah menimbulkan wacana terhadap kepelbagaian budaya yang diterima-paksa oleh mereka. Antaranya Menteri Dalam Negeri Britain mengeluarkan rangka kerja umum untuk mengintegrasikan imigran baru ke dalam kebudayaan dan ketatanegaraan Britain pada 1966. (Ahmad, 2015)
Di Amerika
Di Amerika, wacana ini boleh dikatakan menjadi hangat apabila tercetusnya penentangan komuniti Afro-Amerika terhadap diskriminasi ras. Akhirnya ia berubah menjadi perjuangan budaya.
Tak lama kemudian, penduduk Mexico-Amerika yang telah lama ditindas, turut menuntut pengiktirafan budaya mereka secara rasmi, sebagai komuniti asing yang terpisah dari orang lain. (Ahmad, 2015)
Pemerintahan negara ketika itu didominasi oleh Inggeris-Eropah yang ditakrifkan sebagai identiti asal negara itu. Isu ‘ras’ ini berlanjutan sehinggalah 90-an sehingga meresap ke dalam kurikulum sekolah dan universiti.
Perancis menolak Multibudaya
Di negara-negara Barat, selepas wacana multibudaya menghangat, akhirnya ia membawa kepada perbincangan mengenai ‘integrasi’. Isu baru ini dilihat lebih rancak dalam mengubah identiti primodial masyarakat di sana.
Walaupun ada negara-negara Eropah yang gigih menjadikan negara mereka beridentitikan sedemikian, namun, ada juga negara yang masih tegas mempertahankan identiti asal mereka. Antaranya ialah Perancis.
Perancis dengan tegas menolak sebarang dasar pengiktirafan imigran baru, dan terus mengekalkan identiti mereka yang asal.
Terkesan dengan Liberalisme
Apa yang terjadi di Barat, menggambarkan bahawa percampuran yang mereka terima itu memberi kesan kepada peleburan identiti. Apatah lagi mereka terkesan dengan Liberalisme, dan Pluralisme yang mengemukakan konsep masyarakat serba bebas dan terbuka.
Antara kesan Liberalisme, Barat berjaya meneroka Amerika yang ‘diambil’ daripada Red Indian. Mereka datang dari Benua Eropah, dengan memikul Falsafah Liberalisme yang menuntut agar diberi kebebasan meneroka tanah sesiapa sahaja sekalipun tanah itu sudah ada tuannya. (Tumin, 2021)
Masyarakat plural atau multibudaya yang mereka bina, membawa kepada kesamarataan di antara golongan minoriti yang berasal daripada imigran, dengan golongan majoriti yang merupakan masyarakat asal (Bumiputera).
Teori Pascaetnik
Kritikan ke atas Faham Multibudaya di Barat akhirnya mengheret kepada kemunculan Teori Pascaetnik. Ia dimasyhurkan oleh David Hollinger (1995). Manakala istilah ini kali pertama ditemui dalam artikel Werner Sollors pada 1986.
Pascaetnik menurut beliau, iaitu memilih affiliasi yang berbentuk sukarela, membuka ruang yang luas bagi pembentukan sebuah komuniti baru dengan mewujudkan perpaduan serta penggabungan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai latar belakang kaum. (Abd Aziz et al. 2018)
Beliau menggunakan istilah affiliasi, dan tidak menggunakan istilah identiti, yang menggambarkan ‘kecairan’. Kepelbagaian bangsa tadi ‘dicairkan’ bagi membina satu komuniti baru, dan wajah baru.
Gambaran Pascaetnik di Malaysia
Dalam model Malaysia, Pascaetnik boleh digambar melalui pemikiran segelintir masyarakat Melayu yang cenderung menolak nilai-nilai primordial (bumiputera) dan cuba keluar dari identiti etnosentrik. (Abd Aziz et al. 2018)
Kamus Dewan mentakrifkan etnosentrik sebagai kecenderungan menganggap masyarakat sendiri lebih unggul daripada yang lain, sama ada dari sudut budaya, sejarah, latar belakang dan sebagainya. Identiti inilah yang ditinggalkan oleh masyarakat pascaetnik. (Kamus Dewan Edisi Keempat)
Ringkasnya, Teori Pascaetnik boleh difahami sehingga ke tahap mengabaikan rasa dirinya (yang merupakan bumiputera atau primodial) lebih berhak ke atas tanah asalnya itu. Melahirkan fahaman seperti orang asal dan migran perlu diberi hak sama rata.
Nasionalisme Sivik (Liberal)
Apa yang ingin ditekankan, pascaetnik menekankan nasionalisme sivik, berbanding nasionalisme etnik. Nasionalisme Sivik adalah negara yang menyasarkan bangsa yang mempunyai komuniti yang setara, hak sama rata, dan mempunyai penyatuan dalam ikatan patriotik dengan berkongsi satu set pengamalan nilai dan politik (Abd Aziz et al. 2018)
Nasionalisme sivik boleh difahami dengan satu bentuk nasionalisme yang bersifat lebih inklusif, berasaskan nilai-nilai politik yang liberal. Contohnya nilai kebebasan, toleransi, kesamarataan dan hak individu.
Di dalam buku Projek Pascaetnik Melayu dalam DAP menyatakan;
‘Teori Pascaetnik dipilih berdasarkan hakikat bahawa golongan Melayu yang berada dalam DAP cenderung menolak nilai-nilai primodial dan cuba keluar dari identiti etnosentrik yang menjadi belenggu dalam politik Malaysia’ (Abd Aziz et al. 2018)
Perbincangan mengenai hak
Jika diteliti, Teori Pascaetnik ini apabila disulam dengan perjuangan kesemarataan mengikut spesifikasi Barat, ia akan melahirkan faham bahawa sesiapa sahaja perlu diberikan hak secara sama rata, tanpa mengira imigran atau bumiputera, minoriti atau majoriti. Semuanya perlu diberikan kesamarataan peluang.
Sudah pasti kesamarataan ini diagihkan secara tidak adil. Hak Bumiputra yang majoriti tidak boleh disetarakan dengan imigran yang minoriti. Hak perlu diberikan kepada mereka yang berhak.
Lebih membimbangkan Teori Pascaetnik berpotensi mengubah imej sesuatu bangsa. Contoh yang mudah untuk dilihat, ialah slogan Malaysian Malaysia, yang dilihat sebagai satu slogan yang dilihat boleh mencairkan identiti asal masyarakat Bumiputra sesuatu tempat.
Parti Tindakan Demokratik (DAP)
Secara peribadi, saya melihat idea idea Barat seperti Faham Multibudaya kemudian disulam dengan Teori Pascaetnik ini diceduk oleh Parti Tindakan Demokratik (DAP) di Malaysia.
Slogan yang mereka laungkan ialah Malaysian Malaysia, yang cuba membentuk ‘bangsa baru’ Malaysia. Bukan hanya dikenali sebagai ‘Malay’, atau Melayu. Sebaliknya Bangsa Malaysia itu adalah kesemua rakyat Malaysia tanpa mengira asal usul mereka.
Antara yang dinyatakan di dalam buku Projek Pascaetnik Melayu dalam DAP;
“Beberapa prinsip dilontarkan DAP menerusi deklarasi ini (Deklarasi Setapak) adalah proses pembinaan negara dalam sebuah masyarakat yang pelbagai kaum. Antaranya adalah menentang sebarang hegemoni perkauman yang berlaku ke atas mana-mana komuniti. DAP berpendirian adalah tidak wajar perkara ini berlaku di Malaysia kerana tiada satu kumpulan kaum yang berupaya mendapat kuasa majoriti sepenuhnya.” (Abd Aziz, et al., 2018)
Identiti Malaysia adalah Melayu Islam
Kata nama negara kita Malaysia diambil daripada etnik Melayu yang bermula dengan nama Persekutuan Tanah Melayu kemudiannya diubah kepada Malaysia pada 16 September 1963. (Sharif, 2013)
Definisi Melayu di bawah peruntukan Perkara 160 menyatakan orang Melayu beragama Islam, berbahasa Melayu serta mengamalkan adat istiadat Melayu (Perlembagaan Persekutuan, 2000).
Bahkan, Bangsa Melayu Islam adalah etnik yang mendominasikan etnik kaum di Malaysia, dalam keadaan bangsa lain bebas hidup dengan cara dan kebudayaan masing-masing selagi tidak menyalahi undang-undang negara dan Islam itu sendiri.
Adalah wajar jika orang Melayu mendominasi politik Malaysia, kerana mereka adalah peribumi, pemilik tanah air, dan pewaris kekuasaan politik raja-raja Melayu. Berikut merupakan hak asasi penduduk asal di setiap negeri. (Marzali, 2021)
Mesti berpegang dengan Islam, bukan sekadar bangsa
Etnik Melayu Islam jika berpegang dengan Islamnya, adalah umat yang terbaik, yang mendominasi dalam negara ini, selaras dengan firman-Nya
كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ ۗ
“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)…” [Surah Ali-Imran: 110]
Peruntukan Perlembagaan bertujuan memastikan ajaran Islam yang menjadi agama orang Melayu terus dimartabatkan. Selain daripada itu, untuk memastikan akidah orang Melayu tidak rosak dengan melarang orang Melayu daripada murtad dalam Perlembagaan Malaysia (Alias, 2015).
Bimbang terhakisnya identiti
Aliran Pascaetnik kerap berlapikkan kepada Kontrak Sosial sebagai sandaran mereka. Namun, Kontrak Sosial tidak boleh dihuraikan sewenang-wenangnya sehingga berlaga dengan Perlembagaan Persekutuan yang merupakan identiti Negara Malaysia.
Antara yang dinyatakan dengan jelas ialah Islam sebagai Agama Persekutuan dalam Perkara 3, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Negara dalam perkara 152, termasuk juga Institusi Raja.
Faham Multibudaya atau Pascaetnik yang dihuraikan tadi, bimbang memberi kesan terhadap identiti Islam di Malaysia, dan identiti ke’bumiputera’an seseorang bangsa Melayu yang merupakan bangsa asal dan teras di negara ini.
Perkara ini dilihat jelas bertembung dengan promosi yang dipasarkan oleh DAP yang memperjuangkan Ideologi Sosialis Demokratik (sekarang Demokrasi Sosial). Mereka giat mempromosikan dengan meluas ideologi sosialis demokratik yang bertemakan Malaysia untuk semua rakyat Malaysia (Democratic Action Party 1981:19)
Kesimpulan
Apa yang dapat dilihat, ideologi politik DAP yang diceduk dari Barat bimbang memberi kesan buruk terhadap survival Islam di Malaysia. Identiti Malaysia adalah Islam sebagai Agama bagi Persekutuan, manakala bangsa majoritinya adalah Melayu yang turut ditakrifkan sebagai seorang yang beragama Islam.
Kalau semata-mata isu bangsa, ia boleh diuruskan secara harmoni melalui prinsip فقه التعايش yang diselaraskan dalam Islam. Namun, yang menjadi kerisauan ialah kedudukan Islam di bumi Malaysia, dan identiti sebagai seorang muslim dalam kalangan bangsa Melayu.
Sekiranya agenda ini berterusan, bimbang generasi bangsa Malaysia yang cuba dilahirkan bukan lagi beridentitikan Islam, sebaliknya bangsa Malaysia baru, dan bimbang identiti mereka adalah kepelbagaian agama (Pluralisme).
USTAZ MUHAMMAD MUJAHID IR HAJI MOHAMMAD FADZIL
Ketua Penerangan
Dewan Ulamak PAS Negeri Perak – HARAKAHDAILY 9/11/2024
Multibudaya, pascaetnik dan Malaysian Malaysia
- Advertisement -