Apa lagi alasan PM teruskan ‘deal’ MAHB-BlackRock?

Susulan serangan Israel di Lubnan cederakan anggota MALBATT

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman menggesa kerajaan menyatakan pendirian tegas menolak dan menghentikan rundingan kerjasama MAHB-BlackRock susulan insiden ke atas MALBATT di Lubnan.

Beliau mengulas serangan Israel yang turut mencederakan enam anggota pengaman Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNIFIL) Batalion Malaysia (MALBATT) di Bandar Sidon, Lubnan, kelmarin.

Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan sebelum ini bersetuju dengan penjualan kepentingan 30 peratus saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) kepada BlackRock.

Kontroversi dan bantahan berbangkit apabila BlackRock dikenal pasti terlibat dalam pembiayaan syarikat pengeluar senjata yang membekalkan persenjataan kepada rejim Zionis Israel serta menyumbang kepada jenayah perang di Palestin dan Lubnan.

“Terbaru, insiden serangan Israel di bandar Sidon, Lubnan pada Khamis mengorbankan tiga orang awam warga tempatan selain mencederakan tiga tentera negara Lubnan, serta enam anggota MALBATT,” ujar beliau dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily hari ini.

Terdahulu, pada 20 Jun 2024, Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB (UN OHCHR) di Geneva telah mengeluarkan laporan bertajuk, ‘States and companies must end arms transfers to Israel immediately or risk responsibility for human rights violations’.

Setiausaha Politik Presiden PAS itu mengulas laporan tersebut ya g secara jelas menyenaraikan BlackRock sebagai institusi kewangan dengan melabur dalam syarikat-syarikat pengeluar senjata yang membekalkan senjata kepada Israel.

Beliau berkata, menurut laporan tersebut, kegagalan syarikat seperti BlackRock untuk memutuskan hubungan dengan pengeluar senjata bermakna syarikat itu terlibat secara langsung dalam pelanggaran hak asasi manusia di Gaza yang sangat dahsyat.

Terdahulu, PBB dilaporkan mengeluarkan kenyataan yang menegaskan kewajipan negara anggota untuk memberikan tekanan, dengan segala cara yang ada, kepada pihak terlibat dalam atau membolehkan jenayah perang dan pembunuhan beramai-ramai di Gaza, agar menghentikan tindakan mereka serta-merta.

Syahir berkata, dalam hal itu, Malaysia sebagai negara anggota PBB, anggota utama OIC, dan Pengerusi ASEAN yang baharu, wajib mengambil kira pernyataan tersebut dan mematuhi seruan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB.

“Justeru Malaysia wajib dengan tegas menyatakan bahawa, ‘BlackRock bukanlah rakan kongsi yang dialu-alukan dalam pengendalian lapangan terbang negara’.

“Dan hendaklah dengan tegas mengambil segala langkah untuk menghentikan ‘deal’ usahasama MAHB/BlackRock ini secara terhormat dan muktamad.

“Persoalan penting, jika Wisma Putra dan Kementerian Pertahanan konsisten bertegas terhadap isu Palestin di luar negara (Sidang PBB dan OIC), mengapa tidak boleh konsisten bertegas di dalam negara (Sidang Parlimen dan Kabinet) terhadap isu yang sama?” soalnya. – HARAKAHDAILY 9/11/2024

- Advertisement -