YIK jalin kerjasama 2 universiti di Jordan

- Advertisement -

AMMAN (Jordan): Kerajaan Kelantan melalui Yayasan Islam Kelantan (YIK) menjalin kerjasama dalam bidang pendidikan dengan The World Islamic Science University (WISE) dan Appleid Science University (ASU).

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi negeri, Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata, kerjasama itu bagi membuka ruang pelajar YIK menyambung pengajian di universiti berkenaan.

“Kerjasama tersebut bagi membuka ruang lebih luas kepada pelajar-pelajar YIK melanjutkan pelajaran dalam bidang pengajian Islam dan pengkhususan Qiraat di universiti tersebut,” katanya di sini semalam.

Sebelum itu beliau menandatangani perjanjian persefahaman dengan universiti tersebut sebagai mewakili YIK.

Manakala WISE diwakili Rektor Prof Dr Jaafar Al Magribi Al Fanatsah dan Applied Science University diwakili Rektor Prof Dr Samiha Jarrah.

Turut hadir Ahli Lembaga Yayasan Kelantan Darulnaim (YAKIN) Dato’ Abdullah Yaakob, Timbalan Pengarah Kenaziran YIK Sukeri Hussin, Pengarah Education Malaysia Jordan (EMJ) Prof Madya Dr Mohd Radzuwan Ab Rashid.

Selain itu Pegawai Kebajikan Pelajar Kelantan Timur Tengah Che Khairuleffendi Che Kamaruzaman dan Penolong Pengarah Pinjaman, Biasiswa & Bantuan YAKIN Rosfanizam Din.

Wan Roslan juga berkata, sempena lawatan kerja di Amman Jordan beliau menghadiri majlis ramah mesra bersama pelajar-pelajar Kelantan.

“Harapan saya agar pelajar memanfaat peluang menimba sebanyak mungkin ilmu di Jordan bagi meneruskan usaha membawa obor dakwah apabila kembali ke tanah air,” ujarnya.

Menurutnya selepas menamatkan pengajian mereka mampu menyumbang untuk menyemarakkan ilmu dalam kalangan masyarakat di Malaysia. – HARAKAHDAILY 8/11/2024