Usaha bentuk generasi bebas amalan merokok diteruskan

Muhammad Fawwaz Mohamad Jan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan komited untuk meneruskan usaha ke arah membentuk satu generasi yang bebas dari sebarang bentuk amalan merokok selari dengan Pelan Strategik Kebangsaan bagi Kawalan Tembakau dan Produk Merokok 2021-2030 walaupun Dasar Generasi Penamat Rokok (GEG) telah digugurkan daripada Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan 2024 [Akta 852].

- Advertisement -

Menurut menterinya, hala tuju itu dapat dicapai melalui kerjasama dan sinergi strategik pelbagai kementerian dan agensi dalam menjalankan aktiviti advokasi yang berterusan, pemerkasaan masyarakat dan mewujudkan persekitaran yang sihat serta pelaksanaan Akta 852 yang berkuat kuasa pada 1 Oktober 2024.

“Akta 852 ini mengawal secara komprehensif bagi semua jenis produk merokok, termasuk kawalan penjualan, larangan promosi, pengiklanan dan tajaan dalam melindungi golongan kanak-kanak dan remaja daripada pendedahan kepada produk merokok,” katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Muhammad Fawwaz Mohamad Jan [PN-Permatang Pauh] di Dewan Rakyat, semalam.

Muhammad Fawwaz dalam soalannya meminta Menteri Kesihatan menyatakan perancangan kementerian berhubung dasar Generasi Penamat (GEG) mengambil kira tahap keberkesanan program yang sedia ada khususnya untuk mengurangkan tabiat merokok dalam kalangan belia.

Menurut menteri itu lagi, kementerian telah mengambil beberapa inisiatif meliputi aktiviti advokasi, pencegahan dan intervensi bagi mengurangkan tabiat merokok dalam kalangan belia melalui Pelan Advokasi lima tahun bagi memperkukuhkan lagi aktiviti pencegahan merokok sedia ada.

Belaiu berkata, antaranya adalah Program Kesihatan Oral Tanpa Amalan Merokok (KOTAK) yang telah dimulakan pada 2016 dan melibatkan sejumlah 2,413,761 pelajar sekolah rendah di seluruh Malaysia yang telah disaring.

Katanya, daripada jumlah yang disaring, seramai 374 pelajar didapati merokok telah diberikan intervensi berhenti merokok.

Tambahnya, bagi pelajar sekolah menengah pula, seramai 1,540,035 pelajar telah disaring dan 38,010 pelajar yang didapati merokok telah diberikan intervensi berhenti merokok.

Di samping itu, ujarnya kerjasama atau sinergi strategik dengan kementerian dan agensi lain termasuk dengan Kementerian Belia dan Sukan, dalam menguat kuasa larangan membawa masuk produk merokok ke dalam fasiliti sukan di bawah kelolaan KBS adalah langkah strategik yang amat penting untuk mempromosikan gaya hidup sihat.

“Inisiatif ini bukan sahaja bertujuan mengurangkan pendedahan kepada merokok, tetapi juga meningkatkan kesedaran mengenai risiko kesihatan yang berkaitan, terutamanya dalam kalangan belia,” katanya.

Selain itu, katanya program bersama pihak badan bukan kerajaan (NGO).

Terbaharu, ujarnya pelaksanaan Program Walkabout Premis Bersih, Bebas Asap (BeBAs) iaitu satu program baharu yang merupakan simbolik kerjasama antara pengusaha premis makanan dengan agensi kerajaan, agensi swasta, rakan sukarelawan, badan profesional dan badan bukan kerajaan (NGO).

“Konsep walkabout ini menitikberatkan transformasi tingkah laku dan pemerkasaan masyarakat dalam memastikan peraturan kebersihan makanan dan larangan merokok di premis makanan sentiasa dipatuhi,” katanya.

Katanya lagi, usaha melalui Program Perkhidmatan Berhenti Merokok mQuit.

“Program di universiti iaitu satu program di mana setiap Pusat Kesihatan Pelajar menyediakan perkhidmatan kepada mahasiswa yang ingin berhenti merokok.

“Hingga kini, sejumlah 16 Pusat Kesihatan Pelajar telah menyediakan perkhidmatan ini,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 8/11/2024