Semua mesti bersatu singkir Israel dari pentas dunia

Sokongan AS kepada rejim punca insiden ke atas MALBATT

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Insiden letupan mencederakan enam anggota MALBATT di Lubnan mengesahkan bahawa regim Zionis-Israel adalah entiti yang tidak menghormati undang-undang dan peraturan.

- Advertisement -

Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat, Ustaz Dr Muhammad Khlil Abdul Hadi berkata, kejadian itu tidak akan berlaku melainkan kerana sokongan berterusan Amerika Syarikat (AS) kepada negara pengganas itu.

“Saya ucapkan takziah kepada anggota yang cedera, semoga mereka cepat sembuh. Sudah tiba masanya semua negara bersatu menyingkirkan rejim ini daripada pentas antarabangsa,” katanya yang juga Exco Kerajaan Negeri Terengganu kepada Harakahdaily pada Jumaat.

Kejadian tersebut berlaku jam 1:54 tengah hari tadi (7:54 malam waktu Malaysia) berdekatan Stadium Saida ketika pergerakan anggota Malaysian Battalion 850-12 (MALBATT 850-12) dari Beirut ke Kem Marakah.

Lima anggota MALBATT 850-12 yang baru tiba ke negara itu mengalami pelbagai cedera ringan termasuk seorang yang cedera di bahagian tangan (disyaki retak tangan kiri) dan seorang lagi anggota MALBATT 850-11.

Tentera Darat Lubnan dalam satu kenyataan memaklumkan kenderaan membawa anggota pengaman MALBATT yang bertugas di bawah Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) sedang melalui sekatan jalan.

“Tentera Israel mengebom sebuah kereta yang melalui Awali di Sidon. Serangan ini menyebabkan tiga warga Lubnan maut,” kata kenyataan itu.
Serangan itu turut disahkan UNIFIL dalam satu hantaran di X. – HARAKAHDAILY 8/11/2024