Saintis pupuk murid luar bandar minat STEM

- Advertisement -

JELI: Seramai 130 murid dari 11 sekolah di sekitar Jeli menyertai program Kasih Bio Sempena Sciensation Bio 2024 @ STI 100.

- Advertisement -

Program itu dianjur Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corporation) dengan kerjasama Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains)  Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Ruziah Shafie berkata, program STI 100³ merupakan aktiviti pembelajaran bukan formal dan luar bilik darjah.

Menurutnya, ia diadakan bertujuan memupuk minat dalam kalangan pelajar dari institusi pendidikan dalam bidang Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) terutamanya di kampung dan pinggir bandar.

Kata beliau STI 100³ diterajui MOSTI selaras dengan hasrat Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang menyarankan 100 saintis bioteknologi mengadakan program bagi menarik minat murid dalam bidang STEM di 100 sekolah.

“Bagi menyahut saranan itu, program STI 100³- Sciensation BIO 2024 memberi pendedahan kepada pelajar mengenai pendidikan STEM berkualiti, sekali gus membina asas untuk menjadikan mereka tenaga kerja mahir yang diperlukan pada masa depan.

“Saya percaya 130 murid dari 11 sekolah yang menyertai program kali ini menghayati mata pelajaran STEM dengan bimbingan 10 saintis tempatan terkemuka,” katanya pada Program Kasih Bio Bersempena Program STI  100³-Sciensation Bio 2024, di Pejabat Perpustakaan dan Pengurusan Ilmu (PPI), UMK Kampus Jeli, di sini semalam.

Turut hadir Ketua Pustakawan UMK, Azman Hashim dan Ketua Pegawai Eksekutif, Bioeconomy Corporation, Mohd Khairul Fidzal Abdul Razak.

Ruziah berkata, kemajuan STI negara sepatutnya mendorong penglibatan aktif semua pihak supaya tiada kelompok masyarakat yang terpinggir dalam pembangunan ekonomi dan sosial.

Sempena program itu turut diadakan CSR dengan menyampaikan sumbangan kepada 30 keluarga Orang Asli dalam bentuk barangan keperluan asas serta sumbangan zakat kepada 50 pelajar asnaf UMK. – HARAKAHDAILY 8/11/2024