Larangan umur bawah 16 tahun guna media sosial

Australia sedia rang undang-undang berkaitan

Anthony Albanese. (FOTO: LBC)
- Advertisement -

CANBERRA: Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese mengumumkan pada Khamis untuk melaksanakan larangan penggunaan media sosial bagi semua kanak-kanak di bawah umur 16 tahun.

- Advertisement -

Beliau sendiri menyifatkan cadangan itu sebuah rancangan yang disebutnya sebagai ‘terkemuka dunia’ walaupun banyak butiran perundangan masih belum dijelaskan.

Menurutnya, rang undang-undang itu melibatkan proses pengesahan umur, di mana menunjukkan mereka mengambil langkah yang munasabah sebagai tanggungjawab bagi menghalang akses ke media sosial.

“Media sosial mendatangkan kemudaratan kepada anak-anak kita. Saya telah bercakap dengan beribu-ribu ibu bapa, datuk nenek, ibu saudara dan bapa saudara.

“Mereka, seperti saya, bimbang terhadap keselamatan anak-anak kita dalam talian, dan saya mahu ibu bapa dan keluarga di Australia tahu bahawa kerajaan menyokong anda,” katanya.

Tambah beliau, undang-undang yang dicadangkan itu tidak akan membenarkan pengecualian untuk kanak-kanak yang ibu bapanya bersetuju untuk menggunakan platform media sosial.

Rang undang-undang itu juga tidak akan melibatkan peraturan yang boleh mengecualikan golongan muda yang sudahpun mempunyai akaun media sosial, lapor CBS.

Di bawah undang-undang tersebut, syarikat media sosial akan berdepan denda yang besar kerana membenarkan kanak-kanak yang lebih muda mengakses platform mereka.

Bagaimanapun, tidak akan ada penalti untuk pengguna atau ibu bapa pengguna yang mengabaikan undang-undang tersebut.

Menteri Komunikasi Australia, Michelle Rowland dalam pada itu berkata, syarikat media sosial telah dirunding berkenaan cara praktikal bagi menguatkuasakan larangan tersebut.

Beliau menyebut bahawa Instagram, TikTok, Facebook, X dan YouTube sebagai platform yang mungkin akan terjejas oleh undang-undang berkenaan. – Agensi / HARAKAHDAILY 8/11/2024