KUALA LUMPUR: Anugerah 100 MIYE diterima bekas Setiausaha Politik Perdana Menteri, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak disifatkan sebagai antara kejayaan membanggakan kepada kerajaan pada hari ini.
Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari secara sinis memberi reaksi tersebut dan serta menyerlahkan rasa bangga kerana kerajaan berjaya melahirkan usahawan berjaya dalam masa yang singkat.
Kenyataan sindiran itu selepas Farhash dilaporkan menerima Anugerah 100 Usahawan Muda Paling Berpengaruh (100 MIYE) bagi penganjuran tahun ke-9 menerusi kategori Usahawan Ikonik Tahunan.
Penyampaian anugerah tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Fadillah Yusof pada satu majlis yang berlangsung di Ibu Negara pada 2 November lalu.
Farhash yang sebelum ini adalah pimpinan PKR Negeri Perak yang juga orang kanan Dato’ Seri Anwar Ibrahim tetapi kemudian diketahui tiba-tiba beralih menyertai bidang perniagaan.
Dia pernah mencetuskan kontroversi apabila memiliki saham syarikat HeiTech Padu Bhd (HeiTech Padu) yang kemudian memperoleh kontrak untuk projek Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) bernilai RM892.2 juta.
“Tahniah anak muda! Antara kejayaan kerajaan hari ini (ialah) melahirkan usahawan berjaya dengan masa singkat,” tulis Fadhli di Facebook beliau pada Khamis. – HARAKAHDAILY 8/11/2024