SUNGAI PETANI: Kerajaan Negeri mempertimbangkan permohonan Kerajaan Persekutuan bagi pemilikan sebuah tanah pulau yang terbentuk di Sungai Muda untuk dibangunkan.
Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pulau itu berkeluasan enam ekar atau 2.1 hektar terbentuk di kawasan baraj Sungai Muda dan berada antara sempadan dengan Pulau Pinang.
“Saya dan beberapa yang lain dibawa melawat pulau itu serta diberi sedikit taklimat oleh Pengarah Lembangan Sungai Muda dan dirancang akan dibangunkan Pejabat Pengurusan Lembangan Sungai Muda (PLSM).
“Pulau itu cukup unik dan strategik kerana kedudukannya berada di sempadan sungai antara Kedah dan Pulau Pinang,” jelasnya.
Sungguhpun begitu kata Sanusi, pihak kerajaan negeri juga masih dalam pertimbangan berkenaan permohonan itu dan melihat dari sudut baik serta buruknya.
Sama ada pulau itu katanya, akan dilepaskan kepada Kerajaan Persekutuan atau kekal sebagai milik kerajaan negeri.
“Sekiranya kekal milik kerajaan negeri kita akan beri kebenaran untuk mereka (Kerajaan Persekutuan) gunakan. Jadi lebih baik kita buat pertimbangan yang munasabah,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media di pejabat Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK), di sini semalam.
Dalam pada itu beliau difahamkan, dasar baru Kerajaan Persekutuan kini yang tidak perlu lagi perlu membuat permohonan hak milik, sebaliknya Kerajaan Persekutuan boleh memberi peruntukan untuk bangunkan tanah itu.
Sementara itu, dalam masa yang sama tegasnya, masih banyak tanah agensi Persekutuan dan negeri yang tidak digunakan sejak berpuluh-puluh walaupun telah diberi pemilikan.
Justeru katanya, terdapat negeri yang memohon semula tanah itu untuk dimaju serta dibangunkan.
“Dalam perjumpaan bersama Perdana Menteri, baru-baru ini, beliau juga bersetuju dasar itu diubah. Maknanya, tidak perlu beri pemilikan, tidak perlu bayar cukai atau premium.
“Tetapi dalam masa yang sama Kerajaan Persekutuan boleh memberi peruntukan untuk bangunkan infrastruktor di tanah itu,” katanya lagi.
Oleh itu tambah beliau, pihaknya mengalu-alukan agensi terbabit untuk memberi bajet kepada PLSM bagi bangunkan tanah berkenaan.
Namun sekiranya PLSM tidak berminat ujar beliau, kerajaan negeri akan membangunkannya kerana ia sesuai untuk pusat pelancongan.
Dalam perkembangan lain, Sanusi turut merakamkan ucapan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan yang meluluskan peruntukan RM7 juta bagi kerja penggantian mesin angkat baraj yang rosak tahun lalu.
Katanya, masalah bekalan air mentah melibatkan Kedah dan Pulau Pinang berlaku tahun lalu apabila salah satu pintu baraj di Sungai Muda, rosak dan terbuka, manakala tujuh lagi tidak berfungsi tetapi dalam keadaan tertutup.
Kejadian itu telah menyebabkan paras Sungai Muda surut tiba-tiba dengan begitu mendadak mengakibatkan berlaku masalah bekalan air mentah kepada dua negeri itu.
“Berikutan itu, Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) melalui PLSM telah mohon peruntukan Kerajaan Persekutuan pada masa itu dan telah buat penggantian kepada semua mesin pam dengan kos sebanyak RM7 juta,” jelasnya. – HARAKAHDAILY 7/11/2024