KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengesahkan enam anggota MALBATT 850 cedera dalam insiden letupan berdekatan Stadium Saida, Lubnan.
Kejadian tersebut berlaku ketika pergerakan anggota Malaysian Battalion 850-12 (MALBATT 850-12) dari Beirut ke Kem Marakah, jam 1:54 tengah hari tadi (7:54 malam waktu Malaysia).
Dalam kejadian itu, lima anggota yang baru tiba ke negara itu mengalami pelbagai cedera ringan termasuk seorang yang mengalami kecederaan di bahagian tangan (disyaki retak tangan kiri) dan seorang lagi anggota MALBATT 850-11.
ATM dalam kenyataan dikeluarkan malam tadi, letupan itu menyasarkan sebuah kenderaan awam lain yang sedang menghala ke Beirut, namun turut mengakibatkan kerosakan pada sebuah bas membawa anggota MALBATT 850-12.
“Akibat kejadian itu seramai enam orang anggota MALBAT 850 mengalami kecederaan iaitu lima anggota daripada MALBATT 850 -12 mengalami kecederaan ringan.
“Anggota yang cedera di tangan telah segera dibawa ke Hospital Hamood di Saida untuk mendapatkan rawatan oleh Pegawai Perubatan MALBATT 850-11.
“ATM akan terus memantau perkembangan situasi ini dengan rapi dan akan memaklumkan sebarang kemas kini berkaitan insiden ini dari masa ke semasa.
“ATM kekal komited terhadap tahap keselamatan dan kesejahteraan anggota dalam melaksanakan misi pengaman di bawah panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” kata kenyataan itu lagi. – HARAKAHDAILY 7/11/2024