KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan pada masa ini belum bercadang untuk mewujudkan Lembaga Rempah Negara.
Menterinya berkata, ini kerana fokus kementerian berdasarkan Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) yang memberikan tumpuan khusus kepada empat subsektor iaitu padi dan beras, buah-buahan dan sayur-sayuran, ternakan serta perikanan dan akuakultur.
Katanya, program sedia ada yang dilaksanakan melalui struktur semasa mampu meningkatkan produktiviti rempah negara.
“Namun, perkara ini akan diteliti dengan lebih lanjut sekiranya terdapat keperluan pada masa akan datang,” ujarnya dalam jawapan bertulis kepada soalan Kalam Salan [PN-Sabak Bernam] di Dewan Rakyat, semalam.
Dalam soalannya, Kalam meminta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan apakah Kementerian bercadang untuk menubuhkan Lembaga Rempah Negara untuk memperkasakan industri rempah negara dan menambah pendapatan rakyat serta menjadikan rempah sebagai satu hasil komoditi negara.
Menurut menteri itu lagi, tanaman rempah di Malaysia adalah merupakan tanaman yang beraroma terdiri daripada tanaman yang digunakan dalam masakan atau perubatan seperti halia, kunyit, serai dan sebagainya.
Katanya, industri rempah merupakan industri yang menyumbang kepada ekonomi dan menjadi warisan budaya negara.
Tambahnya, dari tahun 2020 sehingga 2023, industri rempah menyumbang sebanyak 0.29 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pertanian dengan nilai sebanyak RM296.3 juta.
Ujarnya, Program Pembangunan Kluster Herba yang dilaksanakan di bawah Projek Pemacu Pertanian Produk Herba Bernilai Tinggi bertujuan meningkatkan produktiviti tanaman herba/rempah ratus dengan membekalkan bahan mentah herba secara konsisten kepada pemproses dan pengilang berasaskan herba.
Katanya, keluasan semasa tanaman rempah yang direkodkan pada tahun 2023 adalah seluas 5,963 hektar dengan pengeluaran sebanyak 56,753 tan metrik.
Tambahnya, Negeri Johor merupakan negeri penanaman rempah utama di Malaysia dan tanaman serai merupakan tanaman yang paling banyak ditanam di Malaysia melibatkan keluasan seluas 1,981 hektar dengan pengeluaran tahunan sekitar 18,584 tan metrik. – HARAKAHDAILY 8/11/2024