Amaran ribut petir, hujan lebat di lapan negeri

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang membabitkan lapan negeri sehingga 1 tengah hari, hari ini.

- Advertisement -

MetMalaysia dalam kenyataannya berkata, antara kawasan yang terlibat adalah Tanah Tinggi Cameron di Pahang, Sabak Bernam di Selangor, Johor di Johor Bahru, Pulau Pinang dan Perak.

“Selain itu, kawasan di Kedah (Yan, Pendang, Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu); dan Kelantan (Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh).

“Seterusnya, kawasan di Terengganu (Besut, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang dan Dungun),” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.

MetMalaysia turut memaklumkan, amaran dikeluarkan sekiranya terdapat tanda-tanda ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 millimeter per jam yang berlaku selama hampir atau melebihi satu jam.

Menurutnya, amaran ribut petir merupakan peringatan jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.

“Orang ramai boleh melayari laman sesawang MetMalaysia untuk mengetahui tahap cuaca terkini di Malaysia,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/11/2024