KOTA BHARU: Pengalaman Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bermimpi bertemu Rasulullah SAW tidak perlu dipolemik bagi meraih laba politik.
Ketua Penerangan PAS Kelantan, Mohd Asri Mat Daud berkata, ulama zaman lampau merekodkan kisah mimpi tersebut dalam karya sebagai pedoman membangkitkan kecintaan kepada baginda.
“Ini untuk memperjelaskan kepada masyarakat mimpi bertemu Nabi SAW walau kepada sesiapa sahaja ada suatu kemuliaan yang tidak perlu diperlekeh apa lagi dipolemik.
“Diharapkan ulama dan asatizah boleh menjelaskan hal ini lebih terperinci,” katanya pada kenyataan di laman sosialnya.
Sabtu lepas Presiden PAS bercerita tentang mimpi berjumpa Rasulullah SAW pada slot tafsir surah Rom sempena Ijtimak Tarbawai 10.0 Pemuda PAS Malaysia.
Pada pendedahan itu Tuan Guru Abdul Hadi memberitahu bermimpi bertemu Nabi Muhammad SAW selepas menunaikan solat istikharah, meminta petunjuk menghadiri Muktamar Penyatuan Islam Sedunia di Iran.
Menurutnya ada rakan di negara Arab menasihatnya tidak menghadiri perhimpunan tersebut, sebaliknya sahabatnya warga Iran bermazhab Sunni memintanya agar dapat hadir pada pertemuan itu.
Malah sebelum ini Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Tuan Guru Dr Harun Din pernah mendedah mimpi hampir serupa.
Bagaimanapun Mohd Asri yang juga Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta meminta semua semua pihak agar melihat kronologi dan video penuh terbabit.
Beliau berkata, meskipun mimpi tersebut tidak boleh dijadikan dalil dan hujah untuk orang lain, namun ia sebagai panduan untuk dirinya.
“Jika cerita mimpi tersebut berterusan dipolemik serta sengaja diberi naratif salah, ia pasti akan disambung oleh lidah-lidah juhala’ (orang-orang yang jahil).
“Ini bukan sahaja memperli serta meremehkan orang lain, tetapi boleh menyebabkan persendaan kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/11/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!