‘Saya deraih dulu sebab depa mai deraih kat saya’

- Advertisement -

SUNGAI PETANI: Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor setakat ini berpuas hati dengan suasana pentadbiran antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan yang sejak akhir-akhir ini berjalan lancar.

- Advertisement -

Katanya, walaupun tiada Mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan diadakan namun projek Persekutuan dan Negeri berjalan serta dapat diurus dengan baik.

“Ramai yang mengadu, kenapa saya tidak ‘deraih’ (deras) seperti dulu. Saya deraih dulu sebab depa (mereka) mai (mari) deraih, kalau depa mai ‘slow’ (perlahan), kitapun slow.

“Saya pun sudah beberapa kali membuat kenyataan memohon maaf, sejak dulu lagi, masa kita tengah cengei (garang). Saya cengei sebab ombak (serangan) mai cengei jadi kita pun kena pi laju, kalau tidak ombak akan tolak kita ke belakang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri di pejabat Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSPK), di sini hari ini.

Jelasnya lagi, keadaan itu bersesuaian dengan suasana ketika dahulu yang agak tegang, namun apabila keadaan menjadi tenang dan kendur, permohonan maaf akan dibuat kepada mana-mana pihak andai terguris ketika itu.

“Hari ini pun saya nak minta maaf lagi, kepada mana-mana pihak yang terguris dengan ucapan saya sebelum daripada ini, secara terbuka,” tambah ADUN Jeneri itu.

Mengulas lanjut ujar Sanusi, pendekatan baharu yang diambil beliau ini akan memberi kesan serta natijah yang baik kepada kerajaan negeri.

Apa yang beliau dapat lihat katanya, lebih banyak kerjasama dijalinkan dan orang pun tidak takut untuk datang ke Kedah.

Katanya, rata-rata menganggap beliau garang sedangkan karektor yang sebenar adalah sebaliknya, namun sikap tegas yang dianggap garang itu sebenar sesuai dengan situasi serta suasana sewaktu itu.

“Itulah senario sebenar yang berlaku. Harap pihak yang dahulu rasa marah, kata saya mulut _capoi_ (lepas cakap) dan sebagainya dapat terimalah sebab itu bahasa Kedah. Masalah bahasa kena terimalah.

“Tetapi semua tindakan, pandangan yang disuarakan adalah untuk kebaikan negeri ini bukan untuk cari gaduh dengan sesiapa,” tegasnya lagi. – HARAKAHDAILY 7/11/2024