Reformasi ekonomi: Kerajaan umpama ‘tikus baiki labu’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan Madani jelas sedang melaksanakan hala tuju dan dasar ekonomi bercanggah dan tindakan tersasar, malah membuat keputusan pelaburan yang tidak patriotik hingga membenarkan pemilikan asing kepada aset-aset strategik negara.

Ketua Portfolio Ekonomi Perikatan Nasional (PN), Mohd Syahir Che Sulaiman berkata, di sebalik reformasi ekonomi yang dicanangkan Kerajaan Madani, hakikatnya mereka memilih pendekatan liberalisasi dan de-regulasi pro-inflasi dan pro-kroni.

Beliau memperumpamakan situasi itu sebagai ‘tikus membaiki labu’ antaranya isu melibatkan lapangan terbang di bawah pengurusan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) serta terbaru polemik 5G dan sistem telekomunikasi negara.

Ahli Parlimen Bachok ini berkata demikian sebagai mengulas jawapan Menteri Ekonomi, Mohd Rafizi Ramli semasa sesi penggulungan perbahasan Belanjawan 2025 oleh Menteri-Menteri di Dewan Rakyat, di sini semalam.

“Kedua, inflasi dan kos sara hidup. Menteri (Ekonomi) memilih data rasmi (dan) dicanang inflasi rendah, (tetapi) keluhan rakyat dinafi, keluhan peniaga tidak diendah. Kalau kita turun ke bawah ke lapangan, tanyalah 100 pembeli, tanyalah 100 peniaga.

“Jawapan yang diberi (pembeli dan peniaga) pasti tidak sama dengan jawapan YB Menteri. Menteri sebut harga barang tak naik, inflasi stabil 1.9 peratus, bawah 2 peratus. Tetapi rakyat di bawah tak rasa. Peniaga pun tersepit untuk tidak naikkan harga.

“Malah unjuran inflasi tahun depan 2025 dijangka lebih melepasi paras 3.5 peratus, tertinggi dalam tempoh lapan tahun menghampiri paras 3.7 peratus pada 2017, iaitu tahun terakhir pelaksanaan GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan).

“Jadi dalam bab inflasi ini segala dasar dan tindakan kerajaan di era Madani ini sangat pro-inflasi dan menjurus kepada kenaikan inflasi. Menyamai kenaikan kadar inflasi selepas pelaksanaan GST.

“Bermakna tanpa GST pun, inflasi di bawah pentadbiran kerajaan hari ini sudah semakin meninggi,” tegas Syahir yang juga Ahli Parlimen Bachok mengkritik situasi ekonomi negara dan rakyat di bawah pemerintahan sekarang.

Menyinggung mengenai penyasaran subsidi, beliau menyifatkan pengakuan Menteri bahawa sudah dua tahun membuat kajian mengenai perkara tersebut bermakna menjelaskan sikap mengumumkan dahulu sesuatu sebelum kaji dilakukan.

Tempelak Syahir, sehingga ke hari ini dapat disaksikan betapa mekanisma pelaksanaan  penyasaran subsidi tersebut masih samar apabila rakyat yang layak atau tidak layak masih lagi menjadi misteri tidak diketahui semua.

“Yang terbaru kita rakyat Malaysia pada tahun hadapan perlu scanned (imbas) IC (kad pengenalan) sebelum mengisi minyak petrol RON95. Menteri kata kita (rakyat) kena scanned IC, maklumat itu akan disemak naik ke atas cloud.

“Ada harga dua peringkat di mesin yang sama, untuk membeli produk yang sama. Jika layak kita akan bayar harga bersubsidi. Jika data yang di scanned daripada IC itu dan naik ke cloud PADU atau BUDI atau nama lain nanti.

“Jika tidak layak maka kita perlu bayar harga tanpa subsidi. Jadi minyak yang sama di mesej yang sama selepas scanned harganya berbeza, bagaimana pelaksanaan di pihak pengusaha di pihak syarikat petrol kita, syarikat minyak kita, ini belum jelas,” ujarnya.

Bagaimanapun yang pasti katanya, perkara tersebut dijanji akan dilaksanakan pada pertengahan tahun hadapan di mana rakyat akan melihat sama ada penyasaran itu menepati atau ia akan tersasar daripada sasaran pada Jun atau Julai 2025.

Setiusaha Politik Presiden PAS itu turut menyentuh mengenai disiplin fiskal yang walaupun hebat di atas kertas dan dari segi pengolahan hikayat cerita, namun hakikatnya angka defisit dan angka hutang kerajaan terus meningkat.

“Cukai meningkat dan belanja juga terus meningkat. Benarlah kata orang tua-tua, besar periuk, besarlah keraknya. Namun, lebih malang di era Madani ini beras tempatan masih hilang. Jadi kita lihat pengurusan ekonomi kita ini ada masalah.

“Ada masa nasi yang dimasak oleh pihak kerajaan ini, ada masanya mentah, ada masanya goreng terlalu lama sampai hangit. Dan ada masanya bocor. Jadi menampakkan kegagalan di pihak kerajaan,” ujarnya lagi.

Syahir menegaskan semua jawapan diberikan Rafizi itu cukup untuk mengesahkan beberapa andaian dan menzahirkan realiti rakyat di bawah ini denganpandangan ataupun pendengaran di pihak menteri yang menafikan realiti.

Jelasnya, keluhan rakyat dan peniaga di bawah tidak merasakan sebarang kemakmuran, sebarang keselesaan akibat dasar-dasar kerajaan yang pro-inflasi dan pro-kroni di Era Madani ini. – HARAKAHDAILY 7/11/2024

- Advertisement -