KUALA LUMPUR: Pihak Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) amat memahami akan keperluan untuk menyediakan persekitaran pelaburan yang lebih kondusif dan kompetitif bagi industri yang berkait dengan Rare Earth Element (REE), untuk menarik dan seterusnya mengekalkan kehadiran pelabur dalam industri berkenaan.
Justeru, kata Menteri MOSTI Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar (NRES) melalui Jabatan Mineral dan Galian (JMG) telah mengeluarkan Lesen Memproses Mineral (LMM) kepada pihak Lynas untuk tujuan pembelian, penyimpanan, pemilikan, pemprosesan dan penjualan mineral (REE).
Sehubungan itu, ujarnya sebarang permohonan untuk lesen seterusnya sekiranya REE yang diproses mengandungi bahan radioaktif, permohonan hendaklah dibuat dengan mematuhi kehendak perundangan sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 (Akta 304) dan perundangan subsidiari yang dibuat di bawahnya.
Beliau menyatakan demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Datuk Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim [PN-Kuala Terengganu] di Dewan Rakyat, semalam.
Ahmad Amzad menerusi soalannya meminta Menteri Sains, Teknologi Dan Inovasi menyatakan adakah Kementerian berhasrat untuk memberi tempoh lanjutan lesen kepada Lynas Malaysia Sdn. Bhd. dalam jangka masa panjang yang bertujuan untuk menggalakkan lagi industri Non- Radioactive Rare Earth Element (NR-REE) di peringkat hiliran dan pertengahan. – HARAKAHDAILY 7/11/2024